Berita Ahmad Bashah ‘Tenat’ Tindakan Jahat

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan khabar angin mengenai tahap kesihatan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang semakin buruk sebagai serangan peribadi terancang dan berniat jahat.

 

Beliau berkata ia spekulasi yang ingin memperlihatkan Menteri Besar Kedah itu sudah tidak berupaya menjalankan tugasnya.

 

“Hakikatnya seperti yang telah diperlihatkan, Ahmad Bashah pada ketika ini sihat dan sedang memberi tumpuan terhadap usaha-usaha pembangunan negeri.

 

“Seperti yang dimaklumkannya sendiri kunjungan ke hospital hanyalah memenuhi janji temu rawatan dan pemeriksaan susulan selepas pembedahan usus baru-baru ini.

 

“Ahmad Bashah sama sekali tidak rebah seperti yang digambarkan, namun masih mampu memenuhi jemputan dan mempengerusikan beberapa siri mesyuarat di peringkat parti dan negeri.

 

“Malah, Ahmad Bashah dijadualkan mempengerusikan mesyuarat mingguan exco pada 21 September ini,” katanya memetik laporan Awani.

 

Tambahnya, tindakan memenuhi janji temu jelas menunjukkan keazaman tingginya yang mahu cepat kembali cergas demi memenuhi tuntutan rakyat dan parti di peringkat negeri.

 

Dalam pada itu, Shaiful yang juga Setiausaha Politik Ahmad Bashah, meminta semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada Bashah agar Menteri Besar itu dapat memenuhi segala agenda negeri seperi yang dirancang.

 

“Kita mohon agar ruang ini diberikan sepenuhnya oleh semua pihak bagi melihat agenda negeri dan parti dapat dipenuhi dengan kadar segera tanpa perlu melayan fitnah murahan pihak-pihak tertentu.

 

“Hakikatnya, walaupun Ahmad Bashah sering menjalani pemeriksaan susulan secara berkala di hospital, Menteri Besar dibantu sepenuhnya pasukan Muafakat Kedah yang terus menerus memastikan jentera Kerajaan dan parti terus terjaga dengan baik.

 

“Beberapa agenda besar, jangka masa sederhana telah dirangka dan jentera parti dalam proses untuk disiapsiagakan dengan sepenuhnya dan ada yang telah dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.