Azmin Tolak Cadangan Kit Siang Anjur Pilihan Raya Mengejut Di Selangor

SHAH ALAM – Cadangan veteran DAP Lim Kit Siang agar Selangor menganjurkan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal akan mengkhianat mandat lima tahun yang diberikan rakyat kepada kerajaan PKR sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

 

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mandat yang diberikan rakyat tidak boleh dikhianati sewenang-wenangnya.

 

“Tidak perlu (PRN awal) sebab mandat yang diberi rakyat Selangor pada 2013 amat besar, dan mandat itu diberi untuk tempoh lima tahun. Saya tak boleh mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat dalam PRU lepas.

 

“Tidak ada keperluan adalan PRN Selangor kerana mandat itu kuat dan kukuh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Cadangan oleh Kit Siang sebelum ini diutarakan sebagai strategi memastikan Pakatan Harapan kekal mentadbir Selangor selepas PRU14 akan datang.

 

Kata Kit Siang, elemen kejutan seumpama itu akan memberi peluang cerah kepada Pakatan Harapan berbanding Barisan Nasional (BN).

 

PRU14 selewat-lewatnya akan diadakan pada Mac 2017.

 

Mengulas mengenai persempadanan semula yang turut mengubah pola kedudukan Parlimen di Selangor, Azmin mengambil pendekatan tunggu dan lihat disamping akan meneliti cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu samaada mengikut peruntukan undang-undang atau sebaliknya.

 

Katanya, beliau akan bertemu dengan barisan peguam dan membuat penelitian terhadap cadangan SPR itu.

 

“Sebagai sebuah kerajaan negeri, kita mempunyai hak yang sah untuk membantah. Bukan saja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat PBT dan juga kepada pengundi itu sendiri, mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan utk membantah.

 

“Sekiranya kita melihat cadangan yang dikemukakan oleh SPR ini tidak menjamin hak demokratik setiap rakyat di dalam negara kita, yang ini yang sedang kita teliti dan petang ini saya akan bertemu dengan barisan peguam untuk melihat kemungkinan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada ruang bagi maksud tersebut,” katanya lagi.

 

Azmin dalam pada itu turut ditanya mengenai perancangan kerjasama Pakatan Harapan – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 

Ujarnya, sehingga kini tiada kata putus mengenainya ekoran beliau belum bertemu Ketua De Facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan restu menjalin hubungan berkenaan.

 

“Setakat ini mereka menafikan kunjungan saya ke sana sejak tahun lalu. Sebelum ini saya dibenarkan bertemu Datuk Seri Anwar setiap dua minggu atas kapasiti saya sebagai Menteri Besar Selangor. Tapi sejak Mei tahun lalu, pihak berkuasa menafikan saya bertemu Datuk Seri Anwar kecuali di mahkamah. Jadi kita tunggu peluang itu,” katanya lagi. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.