Anwar ‘Main belakang’ diambil di luar konteks, kata Khairy

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa kenyataan yang didakwa bersifat seksual mengenai bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diambil di luar konteks.

 

Beliau menafikan hari ini bahawa perkataan yang digunakan pada tahun 2008 termasuk frasa ‘main belakang’, bertujuan mempunyai apa-apa konotasi seksual.

 

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa perkataan itu boleh mempunyai makna yang lain seperti tikam belakang, dikhianati, atau dimainkan.

 

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa ia bermaksud Anwar telah ‘dipermainkan’ DAP dan PAS, bukannya perkataan untuk merujuk kes liwat atau hubungan seks.

 

“Sama sekali tidak. Parti-parti politik tidak boleh melakukan hubungan seks. Ia hanyalah metafora,” katanya, apabila soalan itu diajukan kepadanya oleh peguam Anwar, J Leela semasa soal balas terhadap beliau.

 

RM100 juta sebagai ganti rugi

 

Khairy memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan sebagai saksi pertama dalam saman fitnah Anwar terhadapnya.

 

Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Khairy berikutan ucapan beliau pada 19 Februari 2008, yang kemudiannya dilaporkan oleh Malaysiakini pada hari berikutnya.

 

Ketua Umum PKR itu mendakwa ucapan Khairy memberikan gambaran bahawa beliau seorang yang homoseksual.

 

Khairy adalah Naib Ketua Pemuda Umno pada masa itu dan melancarkan jentera pilihan raya BN Lembah Pantai menjelang pilihan raya umum ke-12.

 

Hari ini adalah tarikh perbicaraan pertama untuk kes saman fitnah itu yang berlarutan selama lapan tahun termasuk disebabkan gagal dalam proses mediasi.

 

Semasa pendengaran, Khairy berhujah bahawa ucapan beliau bermaksud untuk menunjukkan bagaimana pembangkang – yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat adalah hanya “perkahwinan singkat”.
Beliau menegaskan Malaysiakini melaporkan sebahagian daripada ucapannya tetapi terlepas meletakkan perkataan itu dalam konteks yang betul.

 

Beliau pada masa itu dilaporkan sebagai berkata, “DAP main PAS dari kanan, PAS main DAP dari kiri, PKR main dua-dua dari belakang!” -Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.