Mimbar dan Permaidani Masjid Padang Setol Terbakar, Dipercayai Perbuatan Khianat

ALOR SETAR – Bahagian mimbar dan permaidani sebuah masjid di Kampung Padang Setol, Pedu dekat Padang Terap di sini dipercayai dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian disyaki mempunyai unsur khianat.

Ini adalah kes keempat kejadian masjid dibakar dalam tempoh seminggu iaitu dua daripanya berlaku di Pendang iaitu di Masjid Pendang dan Masjid Sungai Rambai dan satu lagi di Masjid Tok Keling, Jalan Alor Mengkudu di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris memaklumkan, anggotanya yang bertugas di pejabat pertanyaan pada jam 8.01 pagi tadi menerima panggilan dari orang awam memaklumkan ada kebakaran di Masjid Padang Setol, Mukim Pedu.

Beliau berkata, kebakaran bermula dari atas mimbar masjid dan karpet di bawah mimbar.

Papan kenyataan digital yang diletakkan di bahagian atas dinding turut terbakar.

Noh berkata, anak kariah masjid terbabit sampai di masjid pada jam 5.40 pagi dan mendapati api sudah dipadamkan sepenuhnya.

Pemeriksaan dilakukan mendapati bahagian mimbar mempunyai kesan terbakar.

Noh berkata, punca kebakaran masih belum diperolehi dari Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati masjid itu tidak dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV).

Setakat ini tiada saksi yang didapati melihat kejadian dan tiada barang berharga lain hilang.

Pihak Forensik JBPM dan PDRM dipanggil untuk membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kes masih dalam siasatan.

Noh berkata, kes disiasat juga kemungkinan ada unsur khianat. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.