Nelayan Jadi Mangsa Rompakan Bersenjata Di Perairan Langkawi

ALOR SETAR – Beberapa nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa rompakan bersenjata ketika sedang menangkap ikan di Perairan Laut Teluk Pelam, Pulau Langgun, Langkawi, pagi tadi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8.33 pagi ketika beberapa bot nelayan tempatan sedang memukat di perairan Pulau Langgung.

Menurutnya, PP MO Langkawi menerima panggilan telefon dari pesara Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi, Koperal (B) Yahya Derman, memaklumkan bahawa beberapa buah bot nelayan tempatan yang sedang memukat di perairan Pulau Langgun telah didatangi oleh sekumpulan lelaki bersenjata dan mengarahkan supaya masuk ke negara jiran.

“Mangsa dihubungi dimaklumkan tindakan bantuan akan diatur serta merta ke lokasi kejadian yang diketuai oleh Inspektor Adni Shaari.

“Hampir dua jam selepas kejadian, suspek menaiki dua sampan ekor panjang yang sedang membawa tawanan bot dan nelayan tempatan ke perairan jiran didapati menyedari ketibaan bot PPM,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek didapati memecut daripada dicekup pihak PPM dan kejadian kejar mengejar berlaku hampir 20 minit.

“Seramai empat suspek ditahan, mereka didapati memiliki tiga pistol, bagaimanapun tiada insiden tembakkan berlaku.

“Kesemua mereka dibawa balik ke Pangkalan Pasukan Polis Marin W1, Bukit Malut, Langkawi, untuk siasatan lanjut,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.