Jemaah Surau An-Namira Kumpul RM12,000 Bantu Perkahwinan Bilal

SHAH ALAM — Kesempitan wang untuk mengahwini seorang wanita, menyebabkan sebuah surau dekat Taman Bukit Rimau, di sini membantu bilalnya mengumpul wang RM12,000.

Bendahari surau An-Namira Mohd Fauzi Omar, 52 berkata ahli kariah surau itu tersentuh pada Mohd Hafizul Husna Samad, 26, kerana tiada simpanan untuk menikahi Nur’Ain Alang, 30.

Katanya, pihak surau mengumpul wang selama dua minggu bagi membolehkan lelaki itu, yang bertugas lebih setahun, menikahi jurutera Universiti Malaya (UM) itu, malam tadi, lapor Kosmo!.

“Kami tersentuh apabila mengetahui Mohd Hafizul mempunyai masalah kesempitan wang sehingga sanggup mengambil pakej perkahwinan ramai-ramai di Gombak dengan bayaran RM2,000 yang juga berlangsung hari ini [semalam],” katanya.

Menceritakan detik perkenalannya yang singkat itu, Mohd Hafizul pula berkata dia terpikat dengan kematangan Nur’Ain, dan cintanya mula berputik melalui kuliah agama di surau itu.

Katanya lagi, isterinya itu sering pulang awal selepas kuliah Maghrib tanpa menjamah makanan yang disediakan sehingga membuatkan dia tertanya-tanya dengan sikap Nur’Ain itu.

“[…] Nur’Ain kemudian memberitahu memang menjadi tabiatnya selalu balik awal selepas kuliah agama,” katanya, yang mengakui pernah gagal bercinta selama tujuh tahun.

Mohd Hafizul juga mengakui anggota kariah sering mengusik malah membantu menjodohkan mereka dengan bertukar-tukar nombor telefon dengan Nur’Ain.

“Saya bersyukur kerana lamaran saya ini diterima sebelum segala proses risikan dan meminang dilakukan dengan bantuan ahli kariah surau pada awal Ogos lalu.”

Nur’Ain pula mengakui dia terpikat dengan kemerduan suara suaminya memperdengar ayat Al-Quran dan berharap Mohd Hafizul dapat membimbangnya menuju ke syurga kelak. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.