Exco Dakwa Isu Undi Tidak Percaya Terhadap MB Perak Hanya Spekulasi

PARIT BUNTAR — Isu berhubung undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu hanya bersifat spekulasi memandangkan hubungan beliau dengan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) amat baik, kata seorang Exco hari ini.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrustruktur, Pertanian dan Perladangan Abdul Yunus Jamhari berkata sebaiknya perkara itu juga tidak terus diperbesar-besarkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menyatakan ada desas-desus wakil rakyat akan membuat undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal.

Sementara itu, Abdul Yunus turut mengingatkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan ia dimanipulasikan oleh pihak lain.

“Isu pemberian hak milik tanah adalah isu sensitif dan itu boleh diselesaikan dengan baik bagi mengelak spekulasi yang boleh menggugat keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming semalam yang dilaporkan berkata beliau mahu kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri akan mengadakan karnival usahawan pada tahun depan untuk memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk di daerah Kerian.

Mohd Yunus berkata pihaknya akan berbincang dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan mengenai karnival itu yang dirancang seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (Maha).

“Usaha itu akan membantu usahawan kecil memasarkan produk mereka di samping membendung golongan muda berhijrah,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Kerian 2018 yang disertai 22 usahawan di Mydin Mall di sini. — Bernama

One thought on “Exco Dakwa Isu Undi Tidak Percaya Terhadap MB Perak Hanya Spekulasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.