Alumni IPGKKB Rayu Kerajaan Jangan Tutup Institut Pendidikan Guru

KOTA BHARU – Penutupan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) adalah satu kerugian besar bukan sahaja untuk negeri ini malah negara.

Pengerusi Alumni Pensyarah IPGKKB, Yaacob Ismail berkata, institusi itu yang merupakan antara tiga pusat latihan guru tertua negara ini telah melatih lebih 125,000 guru sejak 1954.

Beliau berkata, alasan menukar fungsi IPGKKB yang merupakan satu-satunya IPG di negeri ini kepada sebuah kolej vokasional bukan alasan yang kukuh memandangkan pusat teknikal dan latihan vokasional yang ada sudah lebih dari mencukupi.

“Malah bersebelahan dengan IPGKKB ini sendiri sudah ada sebuah kolej vokasional iaitu Kolej Vokasional Pengkalan Chepa yang telah beroperasi.

“Kita berharap kerajaan baharu mengambil maklum tentang hasrat warga IPGKKB supaya cadangan penutupan tidak dilakukan dan terus berfungsi seperti asal sebagai pusat latihan guru.

“Kami telah berusaha merayu dengan kerajaan dahulu tetapi tidak berjaya, jadi kita harap Kerajaan Pakatan Harapan mengambil perhatian,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Alumni IPGKKB/MPKB dan Guru-guru Seluruh Kelantan di Dewan Wawasan IPGKKB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamarudin Md Nor dan Pengerusi Pasukan Bertindak Pengekalan IPGKKB yang juga Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGKKB, Dr Narita Mohd Noor.

IPGKKB adalah salah sebuah daripada sembilan IPG seluruh negara yang diumumkan ditukar fungsi kepada kolej vokasional dalam pembentangan Bajet 2017 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Narita pula berkata, berbeza dengan keadaan di luar negara, mereka tidak akan sesekali membubarkan sebuah institusi ilmu yang sudah lama bertapak sebaliknya akan lebih memartabatkannya.

“Tambahan lagilah kalau institusi itu institusi yang tertua contohnya seperti Universiti Oxford kerana orang-orang yang ada di situ mempunyai pengalaman yang banyak.

“Sekarang proses penyuraian pensyarah IPGKKB sudah bermula malah ada yang dihantar ke kolej vokasional, bagaimana mereka hendak berkongsi pengalaman itu di bidang yang sangat berbeza,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Penubuhan IPGKKB yang asalnya dikenali dengan nama Malayan Teachers Training College (MTTC) adalah kesinambungan kepada Kirkby Teachers Training College (KTTC) di United Kingdom (UK) yang ditubuhkan dua tahun lebih awal khusus bagi melatih guru-guru Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.