PPBM Ibarat Parti ‘Mesin Basuh’, Kata Exco Armada

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh diibaratkan sebagai sebuah parti politik ‘mesin basuh’ apabila kesemua pemimpin yang berada di dalamnya terdiri dari pemimpin UMNO yang kecewa dan mengambil keputusan untuk masuk ke parti berkenaan untuk ‘melepaskan diri’ dan ‘berlagak suci’.

Menurut Exco Armada PPBM, Mohamad Taufiik Abas, perumpamaan tersebut sangat bertepatan dengan PPBM kerana kebanyakan pemimpin yang menyertai parti berkenaan adalah mereka yang melakukan kesalahan dalam parti mereka sebelum ini dan apabila menyertai parti berkenaan, mereka secara automatik terus dipandang suci.

“Bagi saya, parti ini adalah parti ‘mesin basuh’. Sesiapa sahaja yang masuk walaupun mempunyai kesalahan jenayah sekalipun, automatik jadi suci. Perkara ini akan berulang – ulang sampai ke akhirnya. Ini perlu diubah untuk sistem politik yang lebih baik.

“Semua kepimpinan PPBM adalah dari bekas pemimpin UMNO. Itu kita tidak boleh pertikaian. Mereka ini juga yang begitu lantang mengkritik pembangkang, dan sebaliknya,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara, di sini semalam.

Tambah Mohamad Abas, penahanan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Zahid Mad Arip yang terlibat dalam skandal rasuah berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC) sedangkan PPBM bersungguh – sungguh mahu ‘menyelamatkan’ Felda.

“Baru – baru ini MPT PPBM, Zahid Mad Arip rupa – rupanya dalang di sebalik skandal FIC Felda, sedangkan PPBM beriya mahu siasat isu Felda.

“Ini jelas bermakna, beliau (Zahid) masuk PPBM, kononnya mahu lepas dari skandal terdahulu dan secara automatik beliau jadi suci dan terlepas dari skandal tersebut. Tetapi malangnya, yang salah, tetap salah dan harus dihadapkan ke muka pengadilan. Itu sahaja,” katanya.

Disoal mengenai isu kekecihan Nothing To Hide 2.0 baru – baru ini, Mohamad Taufik berkata, program tersebut telah gagal dan penganjur harus bertanggungjawab berkenaan perkara tersebut.

Jelasnya, program yang berbentuk dialog seumpama itu pastinya mengandungi soalan berbaur provokatif dan sebagai penganjur, Armada yang di ketuai oleh Syed Saddiq Abdul Rahman telah gagal memperketat kawalan keselamatan dan membiarkan orang ramai masuk dengan membawa senjata berbahaya termasuk suar.

Beliau yang diangkat menjadi Exco Armada dalam suatu acara angkat sumpah di Subang, Selangor sekitar Oktober tahun lepas berkata terlalu ramai akar umbi parti itu yang kurang senang dengan kepimpinan ‘kuku besi’ pemimpin PPBM.

“Ramai yang senada dengan saya, yang dibuang juga ada, bilangannya terlalu ramai. Semuanya tidak berani bersuara kerana Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat suatu sentimen bahawa sesiapa yang bersuara mengkritik kepimpinan parti adalah ‘pemakan dedak UMNO,” ujarnya. – KLXpress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.