Atlet Singapura Buat Kenyataan Mahu ‘Mengajar Malaysia’ Mohon Maaf

SEPANG – Pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Joseph Schooling memohon maaf atas kenyataannya ‘mengajar Malaysia 1 atau 2 perkara’ menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Perenang sensasi Singapura berusia 22 tahun itu membuat kenyataan tersebut ketika pulang ke Singapura selepas beraksi pada Kejohanan Dunia di Budapest baru-baru ini, yang mencetuskan respons negatif daripada netizen di Malaysia dan Singapura.

“Kata-kata itu pasti diambil di luar konteks dan saya di sini untuk menyertai acara renang dan jika saya pernah menyinggung sesiapa pun, saya memohon maaf kerana itu bukan niat saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

“Apa yang penting, skuad renang selamat tiba di sini dan kami sudah bersedia. Malah saya akan melakukan yang terbaik untuk Singapura,” katanya yang mengecewakan perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps untuk menang emas acara 100m kuak kupu-kupu di Rio tahun lepas.

Ketibaan Schooling turut disambut oleh ibunya, May Schooling, yang kini menetap di Ipoh, Perak.

Schooling dijangka membuka kempen dalam acara 50m di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Isnin ini.

Pada edisi lepas di laman sendiri, 2 tahun lalu, Schooling menghadiahkan 9 emas untuk negara kelahirannya Singapura dan pemenang emas Olimpik pertama buat negara republik itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.