Lari elak dipenggal

Manila – Seorang anak kapal warga Indonesia berjaya melepaskan diri daripada tawanan militan Abu Sayyaf semalam apabila meredah hutan bakau dan berenang di lautan sebelum ditemui tersangkut pada pukat nelayan.

 

Jurucakap tentera Filipina, Filemon Tan berkata, Mohammad Safyan, 28, bertekad melarikan diri selepas militan Abu Sayyaf yang menculiknya kira-kira dua bulan lalu mengancam memenggalnya.

 

Katanya, lelaki itu ditemui penduduk dalam keadaan terapung di laut dan terperangkap pada pukat ikan berhampiran kawasan hutan bakau di Barangay Bual di bandar Luuk, selatan Filipina.

 

Penduduk yang menemui mangsa segera membawa Mohammad Safyan ke balai polis Luuk untuk tindakan lanjut.

 

Tan memberitahu, laporan menunjukkan Mohammad Safyan berjaya melarikan diri pada waktu malam dan meredah kawasan hutan bakau.

 

Mohammad Safyan bersama enam lagi kru sebuah bot tunda diculik di kawasan perairan berhampiran Filipina pada Jun lalu.

 

Enam belas lagi anak kapal termasuk dari Indonesia dan Malaysia masih lagi dijadikan tebusan oleh kumpulan militan berkenaan.

 

“Kami tidak mendapat maklumat mengenai baki tebusan yang lain, tetapi askar kami menggunakan semua cara untuk mengesan dan menyelamatkan mereka,” jelasnya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.