Dua Anggota Kongsi Gelap Ditembak Mati

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak polis di Lebuhraya Selayang-Kepong di sini awal pagi tadi.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 4 pagi apabila pihaknya melihat sebuah kereta yang mencurigakan ketika menjalankan Op Cantas Khas 2.

 

Beliau berkata, pihak polis kemudian mengejar kenderaan berkenaan yang cuba melanggar sekatan polis.

 

“Ketika kami mengejar, suspek menghimpit dan melanggar kereta peronda polis sebelum ia terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

 

“Apabila kereta mereka terbabas, suspek keluar dan berbalas tembakan dengan anggota polis sebelum kedua-dua mereka cedera dan rebah di atas jalan serta meninggal,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

 

Mohd. Adnan berkata, pihak polis menemukan dua pucuk pistol yang satu daripadanya masih mempunyai enam butir peluru, 11 paket disyaki dadah, sembilan telefon bimbit dan sebuah beg dalam kereta berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.