Warga Emas Dipenjara Kerana Cederakan Ibu

Kuala Lumpur – Seorang warga emas dihukum penjara 15 hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan ibunya yang berumur 81 tahun.

 

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas M Silavan, 62, seorang penganggur, kerana mencederakan V Sarojini dengan memukul kepala wanita itu menggunakan besi kikir menyebabkan kepala mangsa bengkak.

 

Silavan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di  Wangsa Maju kira-kira jam 1.30 petang 2 Ogos lepas.

 

Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul kepala ibunya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

 

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 15 hari ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengugut membunuh dan mengunci pintu pagar rumah mangsa pada tempat dan tarikh yang sama.

 

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu serentak bagi kedua-dua pertuduhan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 3 Ogos, dengan itu tempoh hukuman tersebut berakhir semalam.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah.

 

Di mahkamah berasingan, dua sahabat, Zainol Arip Tauhid, 26, dan Muhammad Azrin Mazlan, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki, minggu lepas.

 

Zainol Arip dan Muhammad Azrin, didakwa mencederakan Muhamad Rassidi Nata, 24, menggunakan besi dan parang di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Sentul kira-kira jam 12 tengah malam 14 Ogos lepas.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 325 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

 

Majistret Muhamad Faizal Ismail menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.