Video: Siti Mariah Letak Jawatan, PAS Kota Raja Lumpuh

Klang – Tokoh Muslimat PAS Dr. Siti Mariah Mahmud hari ini bertindak melepaskan semua jawatannya dalam parti Islam itu termasuk tidak mewakili PAS sebagai Ahli Parlimen Kota Raja.

 

Antara jawatan yang disandang beliau dalam PAS adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat dan Naib Yang Dipertua PAS Kota Raja.

 

Ujar Siti Mariah, peletakan jawatan itu dibuat ekoran terdapat perbezaan politik dalam PAS.

 

 

“Saya tidak khianati amanah rakyat, saya masih dalam perjuangan Islam, tapi pendekatan politik sudah berbeza setelah PAS mengambil keputusan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.”

 

“Tidak wujud rasa kecewa, oleh kerana pendekatan politik sudah berbeza dan tiada langkah untuk bersatu kembali dalam Pakatan Rakyat, maka kami kena teruskan solidariti ini kerana musuh politik masih sama iaitu Barisan Nasional,” katanya di pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kota Raja.

 

Dr Siti Mariah juga mengumumkan pembubaran sembilan cawangan PAS Parlimen berkenaan yang melibatkan lebih 30 orang pimpinan dan AJK kawasan serta cawangan.

 

“Memang satu keputusan yang sukar bagi saya terutama kemenangan di (Parlimen) Kota Raja adalah kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat, jadi itulah yang perkara yang sayu dan kita kena teruskan.

 

“Kami terpaksa (letak jawatan) dan pendekatan politik yang diambil oleh PAS amat berbeza sekarang, di Selangor pun agak susah (untuk kerjasama) dan bila ada kekosongan suara islam dlm Pakatan, maka ada sebuah lagi parti islam, mungkin pendekatan berbeza tapi roh dan semangat masih sama,” katanya.

 

Walaupun sudah meletakkan jawatan dalam PAS, namun beliau akan tetap meneruskan khidmat selaku Ahli Parlimen Kota Raja yang berstatus bebas.

 

“Sebagai wakil rakyat, saya tetap akan meneruskan khidmat kepada semua pengundi Kota Raja walapun saya sudah berubah (parti) dan ia tidak menjejaskan langsung khidmat saya kepada rakyat dan anggota GHB akan memberikan dokongan kepada gerak kerja di Kota Raja.”

 

Malah pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyuarakan sokongan mereka terhadap tindakan meletakkan jawatan itu.

 

Antara yang meletakkan jawatan adalah Yang Dipertua PAS Kota Raja, Jaafar Shamsuddin dan timbalannya, Norhalim Sirom.

 

 

Turut sama meletakkan jawatan adalah 183 ahli dalam Pas Kawasan Kota Raja.

 

Parlimen Kota Raja menyaksikan majoriti kemenangan paling besar oleh Ahli Parlimen PAS dengan 29,395 undi.

 

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Murugesan Sinnandavar.

 

Siti Mariah sebelum ini pernah membuat penafian yang beliau akan meninggalkan PAS.

 

Pada Julai lalu, tiga wakil rakyat PAS di Selangor termasuk Siti Mariah mengesahkan akan menyertai parti baru yang akan ditubuhkan oleh GHB pada hujung Ogos ini.

 

Dua lagi wakil rakyat terbabit ialah ADUN Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

 

Difahamkan PAS Shah Alam dan Kelana Jaya akan membuat keputusan sama esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.