Tunai Haji, Simpan Seringgit Sehari Selama 31 Tahun

Port Dickson – Jika 42 tahun lalu, dia pernah terfikir sama ada berpeluang untuk menjejak kaki ke tanah suci Makkah untuk menunaikan rukun Islam kelima.

 

Manakan tidak, selepas tamat rekrut askar pada 1973, Kuput Indit yang ketika itu baru berusia 20 tahun hanya menerima gaji bulanan sekitar RM700 sahaja.
Namun, dengan usia yang muda, Kuput sudah memasang azam bahawa satu hari nanti dia juga akan dapat menunaikan haji seperti mana jemaah haji lain ketika itu.

 

Namun siapa sangka, dia yang kini berusia 62 tahun akhirnya berjaya memenuhi impiannnya itu hasil usaha membuat simpanan sedikit demi sedikit, sekali gus membuktikan selagi ada niat, selagi itu ALLAH menunjukkan jalan.

 

Formulanya hanya satu, menyimpan RM1 sehari sejak muda dan akhirnya, Kuput dan isterinya, Saadiah Wan Ahmad, 58, bakal berangkat ke tanah suci Makkah yang dijadualkan 4 September depan.

 

Kuput berkata, dia tidak sangka bermula dengan simpanan melalui potongan gaji sebanyak RM30 sebulan (atau RM1 sehari) di Tabung Haji, akhirnya selepas 31 tahun, simpanannya sudah cukup melayakkan dia menunaikan rukun Islam kelima itu.

 

Mengimbas detik mula dia menyimpan di Tabung Haji, bapa kepada lima orang anak ini memberitahu, ia bermula pada 1973.

 

“Ketika itu pak cik baru tamat rekrut askar dengan gaji cuma RM700. Masa itu pihak kem yang uruskan untuk potongan gaji ke Tabung Haji dan pak cik setuju saja buat potongan RM30 sebulan mengambil kira seringgit sehari.

 

“Masa tu terfikir juga, dengan RM30 tu saja, boleh cukupkah nak buat tambang pergi haji bila pencen nanti.

 

“Tapi betullah… sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Cukup perkhidmatan pak cik selama 31 tahun dan bersara, duit dalam Tabung Haji sudah lebih RM10,000. Memang cukup untuk tambang pergi haji,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun wang sudah mencukupi, namun ketika itu dia belum mendaftar haji lagi.

 

“Masa tu, anak-anak masih belajar di universiti. Jadi pak cik buat kerja bawa teksi. Lagipun duit tu cukup untuk tambang pak cik seorang je, mak cik (isteri) punya belum ada,” katanya yang kemudian bekerja sebagai pemandu teksi sejak 2004 sebelum bersara pada 2012.

 

Kuput berkata, selepas semua anaknya tamat belajar dan memperoleh kerja, dia bersama isteri mendaftar untuk mengerjakan haji.

 

“Tahun 2007, kami daftar haji dan sepatutnya ke tanah suci pada tahun 2016. Masa itu duit Tabung Haji mak cik belum ada lagi, tapi kami nekad daftar haji dan berazam untuk mencukupkannya.

 

“Akhirnya, duit Tabung Haji mak cik cukup atas bantuan anak-anak yang bagi setiap bulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika di rumahnya di Rumah Rakyat Peringkat 3 Telok Kemang, di sini.

 

Kuput berkata, walaupun duit sudah cukup, setiap tahun dia bersama isterinya memperbaharui permohonan untuk pergi haji dan mengikuti kursus haji yang diadakan di Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Sijang.

 

“Sejak 2011, sudah empat kali kami pergi kursus haji dan akhirnya akhir tahun lepas kami dapat surat tawaran pergi haji,” katanya.

 

Bagaimanapun, Kuput berkata, walaupun sudah menerima tawaran pada akhir tahun lalu, tetapi dia dan isteri tetap risau apabila belum mendapat tarikh penerbangan, sedangkan rakan-rakan yang sama-sama pergi kursus haji sudah mendapat tarikh.

 

“Nak dijadikan cerita, sehari sebelum raya (Aidilfitri) lalu, masa itu pak cik tengah tolong mak cik masak rendang di dapur, orang Tabung Haji telefon suruh datang sana. Katanya ada surprise.

 

“Kami matikan api dan tutup rendang yang belum masak itu, terus ke Tabung Haji. Sampai sana, pegawai beritahu kami dah ada tarikh penerbangan,” katanya gembira.

 

Kuput berharap dia dan isteri dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur.

 

“Insya-ALLAH kami nak buat yang terbaik kerana peluang ni tak semua orang dapat. Lagipun, untuk pergi kali kedua, kami sudah tak mampu. Takkan nak tunggu sampai 31 tahun lagi, kumpul duit RM30 sebulan,” seloroh Kuput mengakhiri perbualan. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.