Suspek Tetak Kena Tahan

Merlimau – Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang yang didakwa terbabit dalam kejadian menetak seorang wanita di sini Sabtu lalu ditahan polis awal pagi semalam selepas dia melarikan diri ke Pahang.

 

Dalam kejadian berkenaan, seorang wanita yang dikenali Siti Maheran Berahat, 41, cedera parah di kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kakinya selepas didakwa ditetak suspek, yang juga merupakan bekas suami keduanya, di sebuah ladang kelapa sawit di sini.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitenden Mohd Nur Hishamuddin Hashim, suspek yang berusia 52 tahun itu ditahan polis di Felda Bukit Puchong, Bera, Pahang, kira-kira jam 4 pagi semalam.

 

Menurutnya, penahanan itu ekoran operasi yang dilancarkan polis bagi memburunya selepas dia didapati telah melarikan diri menghala ke Negeri Sembilan dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara Aeroback.

 

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,’’ katanya di sini semalam.

 

Menurut Mohd Nur Hishamuddin, polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian tetak itu, telah membawa mangsa ke sebuah klinik berhampiran untuk rawatan.

 

Bagaimanapun, katanya, ekoran kecederaan parah yang dialaminya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

 

“Pemeriksaan yang dijalankan menunjukkan tahap kecederaan mangsa adalah amat serius dan ekoran itu, dia telah dipindahkan pula ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

 

Sementara itu, menurut sumber, perebutan anak antara mangsa dan suspek dipercayai menjadi punca mangsa ditetak.

 

Menurutnya, suspek dipercayai telah pergi ke rumah mangsa di Tedung Khamis lalu untuk memujuknya membenarkan ketiga-tiga anaknya yang berusia empat, tujuh dan 13 tahun tinggal bersamanya tetapi mangsa enggan membenarkan.

 

Pada hari kejadian, suspek dipercayai meluru masuk ke rumah mangsa dengan sebilah parang pemotong daging dan memaksa mangsa bersama tiga anaknya menaiki motosikal bersamanya.

 

Menurut suspek, apabila motosikal yang dinaiki mereka berlima tiba di sebuah ladang kelapa sawit, suspek telah mengarahkan mangsa turun sementara ketiga anaknya masih berada di atas motosikal.

 

“Suspek dipercayai telah mengayun parang yang dibawanya dan menetak anggota badan mangsa,” katanya.

 

Terkejut dengan apa yang berlaku, anak mangsa terus memecut motosikal yang dinaiki mereka ke Balai Polis Merlimau untuk mendapatkan bantuan. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.