Sokong Muhyiddin: Pengikut Ugut Tumbuk Azwan Ali

Kuala Lumpur – Selebriti kontroversi, Azwan Ali yang menggelarkan dirinya sebagai Diva AA menerima ugutan daripada salah seorang pengikutnya di Instagram.

 

Adik kepada Menteri Selangor itu mendakwa, individu berkenaan mengugut untuk menumbuknya jika berjumpa gara-gara kenyataannya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Bekas pengacara TV3 itu dilaporkan telah membuat laporan polis terhadap individu berkenaan dan mahu membawa kes itu sehingga ke mahkamah.

 

Baru-baru ini, Azwan menerusi akaun Instagram meluahkan tidak puas hati terhadap Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengkritik Najib dan parti setiap kali merasmikan mesyuarat UMNO bahagian di seluruh negara.

 

Dia menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘duri dalam daging’ dan ‘amat merbahaya’ kerana kritikan terhadap Najib dan UMNO.

 

“Tak habis-habis ke hulu ke hilir. Kesian. That day siap buat PC ‘Saya terima dengan hati terbuka’. Now? Ko dah kenapa? Stop your nonsense. Duri dalam daging amat-amat merbahaya. Get away!”, tulisnya pada 16 Ogos lalu.

 

 

“Penentang PM, mereka di bawah kaki saya”

 

Sementara itu, Media Hiburan melaporkan, Azwan berkata, tindakan pengikut Instagram itu sebagai biadap dan tidak menghormatinya haknya yang dijamin Perlembagaan.

 

“Pada saya, tindakan suspek yang mengugut saya itu adalah biadap! Menyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah hak mutlak Azwan Ali yang dijamin di bawah perlembagaan kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen.

 

“Jadi, kepada semua pihak yang menentang pemerintahan Perdana Menteri, mereka berada di bawah tapak kaki saya,” katanya.

 

“Beberapa tahun lalu, saya hampir membenci Perdana Menteri kerana termakan dengan segala fitnah dan bidaah, tetapi saya bersyukur, saya kembali berpihak kepada kerajaan selagi Dato’ Seri Najib tidak dijatuhkan apa-apa hukuman atas apa-apa pertuduhan di mana-mana mahkamah dalam Malaysia, mahupun di luar negara.

 

“Saya telah pun bertindak tegas sebaik diugut oleh suspek berkenaan di Instagram @divaazwanavazz pada malam 17 Ogos 2015. Jadi, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang.

 

“Saya salute kepada PDRM kerana mengambil kes ini sebagai serius dan terjumlah di bawah kesalahan Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman dua tahun penjara atau lebih.

 

“Kepada suspek berkenaan dan semua yang cross Instagram saya sebagai anti Perdana Menteri, tolonglah bermuhasabah diri sebelum meringkuk di dalam penjara.

 

“Saya mendapat sokongan besar daripada sebahagian penyokong saya yang kini melebihi 95,000 orang dan saya siap menyeru agar semua berdoa, supaya kes ini sangkut sebagai pengajaran kepada semua.

 

“Saya juga kesal apabila perspektif saya ke atas Dato’ Seri Najib dilaga-lagakan dengan perspektif oleh Menteri Besar Selangor kerana dalam soal politik, tiada ruang berkompromi tentang apa yang benar. Saya pertahankan dan menyokong Dato’ Seri Najib bukan kerana menghadap mana-mana habuan daripada kerajaan.

 

“Azwan Ali hanya takut kepada Allah SWT, dan tidak perlu mengungut saya walaupun anda anti Perdana Menteri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.