Perlaksanaan Pusat Jualan IT Ala Low Yat Dipercepatkan

KUALA LUMPUR – Cadangan mewujudkan pusat jualan komputer dan gajet elektronik ala Low Yat di Ba­ngunan Mara akan dipercepatkan selepas mendapat sambutan memberangsangkan daripada peniaga bumiputera yang mahu berniaga di situ.

 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai langkah permulaan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membentangkan pelan pembangunan berkenaan dalam mesyuarat pasca-Kabinet esok.

 

Beliau berkata, perancangan terperinci perlu diambil untuk memastikan pusat perniagaan itu berjaya antaranya penglibatan syarikat pengeluar telefon bimbit terkemuka iaitu Apple Inc. (Apple) dan Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) serta memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi.

 

“Perkara ini sudah menjadi perhatian banyak pihak, orang ramai hantar mesej pesanan ringkas (SMS) pada saya sebab mahu berniaga tetapi kita kena betul-betul bersedia dulu, kalau tidak peniaga akan susah dan merugikan mereka.

 

“Kita sudah kenal pasti tingkat tiga bangunan tetapi kalau mendapat maklum balas yang baik dan ada ruangan, seluruh bangunan akan dijadikan pusat jualan alat teknologi maklumat (IT) tanpa menutup pelbagai perniagaan lain yang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rahim Bakar dan Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Hasnan Hassan.

 

Menurut Ismail Sabri, Mara dijangka menubuhkan anak syarikat untuk menjadi pengimport produk-produk IT dari luar negara yang akan dibekalkan kepada peniaga bumiputera bagi mengawal penglibatan orang tengah sehingga boleh menyebabkan harga melambung.

 

Katanya, walaupun pusat perniagaan berkenaan dikhususkan kepada peniaga bumiputera, namun Mara sedia menerima penyer­taan peniaga daripada kaum lain sekiranya masih ada ruang niaga yang boleh diisi.

 

Tegasnya, Mara tidak akan sama sekali menghalang penglibatan usahawan daripada kaum lain, malah setiap peniaga mempunyai pilihan masing-masing untuk mendapatkan bekalan dan tidak diwajibkan membeli daripada anak syarikat agensi itu yang akan ditubuhkan kelak.

 

“Sama macam di Arked Mara bila peniaga bumiputera bukan maksudnya tiada rangkaian dengan peniaga kaum lain, samalah kalau kita sudah wujudkan anak syarikat Mara sebagai pembekal tetapi peniaga sudah lama membeli daripada kaum Cina atau India, maka kita tidak akan sekat,” tegasnya.

 

Sementara itu, mengulas menge­nai taklimat berkenaan katanya, ke­menterian telah meminta Jakoa menghasilkan satu pelan untuk mem­bangunkan golongan belia Orang Asli sebagai usahawan yang berjaya dalam pelbagai bidang. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.