Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih – Tun M

Tronoh – Masyarakat disaran mempelajari dan menerapkan budaya serta nilai baik masyarakat Timur di negara seperti Jepun dan China dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya dan maju.

 

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masyarakat perlu menerapkan budaya serta nilai masyarakat Timur yang dilihat mampu mengubah masa depan negara terutama dalam aspek kemajuan dan pembangunan negara.

 

“Budaya yang diamalkan masyarakat timur menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara, jadi kita sebagai rakyat Malaysia, kita ada peluang untuk melihat masyarakat Barat dan Timur untuk dibuat perbandingan.

 

“Tidak ada salahnya jika kita ambil budaya baik yang ada di Jepun ke negara ini, sebagai contoh, kita tahu apa yang baik dan yang buruk, kita boleh pilih dan boleh promosikan yang baik serta jauhkan yang buruk.

 

“Ia sedikit pun tidak mengurangkan nilai kita sebagai rakyat Malaysia, baik kita Melayu, Cina mahupun India, dengan mengambil sedikit nilai dan kualiti baik yang ada pada mereka,” katanya ketika menyampaikan ucap tama bertajuk ‘Evolusi Sosial, Apa Seterusnya?’ pada Kuliah Umum Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Canselor UTP di sini, hari ini.

 

Dr Mahathir, yang juga Canselor UTP, juga berkata masyarakat di Malaysia boleh memilih perkembangan antara budaya Timur atau Barat sebagai panduan bagi membentuk evolusi atau revolusi sosial dalam negara ke arah negara lebih maju pada masa depan.

 

Beliau berkata masyarakat perlu tahu membezakan nilai baik atau buruk yang ditunjuk masyarakat di negara Timur dan Barat bagi memastikan tiada implikasi buruk berlaku dalam negara.

 

“Seperti kata pepatah Melayu ‘buang yang keruh ambil yang jernih’ kerana jika kita mahukan evolusi dalam masyarakat sosial, kita tidak boleh biarkan ia berlaku sendiri, kita sepatutnya memilih yang terbaik dan membuang yang buruk dan kita boleh mendapat evolusi yang terarah.

 

“Dalam membentuk masyarakat, kita mempunyai pilihan sama ada memilih dari Barat dan Timur, mengambil nilai baik serta melaksanakan dan mempraktikannya dengan penuh kesabaran kerana kita perlu kesabaran untuk melakukan sesuatu yang betul, dan untuk berjaya juga kita perlukan kesabaran,” katanya.

 

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan sebuah buku bertajuk ‘A Gift of Hope’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.