BN Tak Tergugat Dengan GHB

Kota Belud – Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat dengan penubuhan parti Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang bakal ditubuhkan pembangkang pada hujung Ogos ini, demikian menurut Pengarah Komunikasi Strategiknya Datuk Abdul Rahman Dahlan.

 

Malah beliau menyatakan keyakinan bahawa parti berkenaan bakal berkubur seperti mana yang berlaku kepada parti serpihan yang pernah diwujudkan sebelum ini.

 

“Kita tidak akan terjejas dengan apa pun tindakan parti pembangkang. Sama ada pembangkang mahu mengambil semangat Semangat 46 dulu, Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat, tidak akan menyakitkan kepala kami dalam BN.

 

“Yang penting kepada BN ialah meneruskan tradisi berkhidmat kepada rakyat dan memastikan keselamatan dan kestabilan ekonomi dan perpaduan sebagai teras utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas bencana di Pejabat Daerah Kota Belud malam tadi.

 

Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, GHB tidak akan mampu menarik ahli PAS dan Umno untuk menyertai perjuangan mereka kerana ahli kedua-dua parti berkenaan sangat berdisiplin dan berprinsip sebaliknya sasaran keahlian GHB adalah daripada PKR.

 

“Jadi PAS tidak akan terjejas, Umno juga tidak akan terjejas. Insya-Allah, GHB akan terkubur seperti mana harapan (parti-parti) lain sebelum ini,” katanya.

 

Menyentuh kenyataan Lim dalam sebuah portal berita yang meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menahan beliau kerana menyebarkan berita palsu, Rahman berkata jika pembangkang boleh percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menukarkan penjawat awam bagi menyekat siasatan dalam pelbagai isu, maka mereka juga perlu percaya teori terdapat cubaan untuk mengaitkan Najib dengan jenayah.

 

Dalam temu bual Rahman dengan portal berita itu, beliau yang juga ahli Parlimen Kota Belud berkata beliau tidak menyentuh sama ada kertas pertuduhan itu wujud seperti yang didakwa Lim.

 

“Sama ada wujud kertas pertuduhan itu atau tidak, kami serahkan perkara itu kepada ketua polis negara untuk menyiasat dan menerangkannya. Saya tidak mempunyai maklumat mengenainya,” katanya.

 

Rahman berkata mungkin usia Lim menyebabkan pemimpin DAP itu tidak memahami maksud sebenar artikel berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.