AirAsia X Terus Catat Kerugian

Kuala Lumpur – Kerugian pracukai syarikat penerbangan tambang rendah perjalanan jauh AirAsia X Bhd meningkat kepada RM162 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2015, daripada RM132.3 juta yang dicatat tahun lalu.

 

Pendapatan pula berjumlah RM653 juta, susut tiga peratus daripada RM672 juta bagi suku sama setahun lalu.

 

Kejatuhan itu disebabkan terutamanya pengurangan hasil penerbangan berjadual akibat faktor muatan lebih rendah selepas kegiatan pemasaran dihentikan selain penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di Korea Selatan dan bencana gempa bumi di Kathmandu.

 

“Ketika memasuki tahun ini, kami jangka berlaku kemerosotan dalam tempoh separuh pertama memandangkan aktiviti pemasaran dihentikan dan jenama kami terjejas di Austalia disebabkan gangguan Bali-Melbourne.

 

“Kami telah mengambil inisiatif untuk membangunkan pengiktirafan jenama bagi jangka panjang dan kesetiaan menerusi pemasaran dan kempen jenama kreatif yang diperhebat di seluruh jaringan kami, terutama di Australia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X Group, Datuk Kamaruddin Meranun dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Pemangku CEO AirAsia X, Benyamin Ismail berkata kumpulan beroperasi dalam persekitaran yang mencabar baik di dalam mahupun di luar negara pada separuh pertama tahun ini, dan ia merupakan keadaan paling sukar yang pernah disaksikan oleh syarikat tersebut.

 

“Sejak beberapa bulan lepas kami bekerja dengan tekun dan usaha kami mula menampakkan hasil positif dengan trend tempahan pada masa depan yang memberangsangkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.