Ahmad Maslan Ulang Pendirian, Nafi Ramai Yang Boo

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mengatakan insiden beliau di’boo’ oleh perwakilan sedikitpun tidak melunturkan semangatnya.

 

Beliau berkata demikan dalam blognya bagi menerangkan perkara sebenar berlaku mengapa beliau telah di`boo’ pada Mesyuarat Bahagian Umno Pontian di Dewan Jubli Intan, Ahad lalu.

 

Menurutnya, sorakan ‘boo’ itu dimulakan oleh dua orang hadirin dari luar Pontian dan bukan dari perwakilan.

 

“Apakah perasaan saya? Di atas pentas itu kelihatan saya tidak menunjukkan reaksi apa-apa walau saya penuh sedar terhadap apa yg berlaku. Sebelum itu ketika pengacara menyebut nama-nama dalam senarai protokol, tiada yang ‘boo’.

 

“Bila nama saya disebut dan bunyi tepukan untuk saya hampir sama sahaja dengan tepukan bila nama-nama tetamu lain disebut.

 

“Orang Pontian tahu saya balik kawasan hampir setiap minggu sejak mula menjadi Ahli Parlimen tahun 2008 dengan pelbagai program. Saya anak tempatan dari Benut, Pontian. Mereka kenali saya sebagai Tok Mat yang sentiasa berusaha untuk mengubah Pontian kepada kawasan yang lebih baik dalam pelbagai perkara.

 

“Peristiwa itu sedikit pun tidak melunturkan semangat saya. Begitu juga cacian dan rekaan dalam media sosial dengan pelbagai ‘spin’ terhadap kenyataan saya yang hampir semuanya fitnah (terutama tentang GST) juga tidak akan melunturkan semangat juang saya,” ujarnya.

 

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno Malaysia, berkata, laporan pihak mereka yang mengatakan kononnya beliau di’boo’ banyak kali adalah tidak benar.

 

“Konon saya meninggalkan majlis lebih awal juga tidak betul. Itulah antara kerja mereka, mengadakan yang tiada dan meniadakan yang ada.

 

“Perlu juga dikongsi di sini bahawa lepas perasmian itu ada pengundian untuk tujuh perwakilan ke Perhimpunan Agong Umno (G7). Setiausaha Sulit & Pegawai Khas saya yangg turut bertanding menang dengan mendapat undi kedua dan ketiga tertinggi daripada 15 calon yang bertanding.

 

“Jika perwakilan Pontian tidak suka saya, logiknya dua orang pembantu saya itu juga telah ditolak oleh perwakilan.

 

“Saya menerima episod ‘boo’ itu sebagai satu hikmah dan cabaran dalam perjuangan. Ianya suatu pembelajaran politik yang penting dalam kerjaya  dan khidmat saya untuk agama, bangsa dan tanah air. Bak kata pepatah, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

 

“Pada saya setia dan sepakat dalam perjuangan adalah penting. Seorang sahaja nakhoda dalam perjuangan juga penting. Nakhoda itu perlu dibantu dalam susah dan senang untuk mengemudi kapal meredah gelora lautan agar selamat sampai ke pelabuhan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.