Peruntukan RM157.14 Juta Untuk Pekebun Kecil Sabah

Kota Kinabalu – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi meluluskan peruntukan berjumlah RM157.14 juta untuk skim penanaman baru dan penanaman semula getah, kelapa sawit, lada dan koko bagi pekebun kecil di Sabah, pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu, RM72 juta diluluskan untuk tanaman baru dan tanaman semula kelapa sawit, RM59.7 juta untuk penanaman baru dan tanaman semula getah, RM18 juta untuk penanaman baru dan program peningkatan produktiviti koko dan RM42,000 untuk skim tanaman baru lada. 
Sementara itu, RM7.4 juta pula diluluskan untuk membiayai pembinaan 19 projek jalan ladang sepanjang 20 kilometer, katanya.

“Saya berpuas hati dengan laporan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), iaitu agensi yang melaksanakan program mengikut komoditi masing-Masing. 

“Kita berharap program ini akan membantu pekebun kecil di negeri ini untuk tingkatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Semaian (Getah) Kabang, Papar di sini, hari ini. 

Menurut Uggah, pada tahun lalu, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM226.8 juta untuk membiayai pelbagai program dan pemberian insentif kepada pekebun kelapa sawit, getah, lada dan koko serta pembinaan jalan ladang di Sabah. 

Katanya, sejak 2011 hingga 2013, sebanyak 39 projek jalan ladang sepanjang 159.4 kilometer dengan kos berjumlah RM33.9 juta telah dilaksanakan. 

“Ini memang satu usaha untuk kita mengatasi masalah kemiskinan. Apabila kita memberi bantuan, ini dapat meningkatkan pendapatan dan usaha ini juga membantu mereka mempelbagaikan aktiviti ekonomi. Kita tidak mahu petani kita bergantung kepada satu komoditi sahaja kerana apabila harga komoditi itu jatuh, ia menjadi masalah,” katanya. 

Mengenai bantuan khas kerajaan kepada pekebun kecil getah berikutan kejatuhan teruk harga komoditi berkenaan, Uggah menjelaskan pekebun kecil getah dan penoreh getah yang berdaftar dengan Risda dan LIGS layak menerima bantuan berkenaan selepas memenuhi syarat ditetapkan. 

“Saya berharap tidak ada lagi kekeliruan tentang perkara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.