Perlawanan Persahabatan Harimau Malaya – Kiwi Dibatalkan

Kuala Lumpur  – Hasrat Harimau Malaya untuk menguji ketajaman kuku dengan jaguh Oceania, New Zealand berkubur apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung November depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu tidak dapat direalisasikan.

Semuanya gara-gara tarikh perlawanan yang diminta oleh Persatuan Bola Sepak New Zealand itu terlalu dekat dengan Kejohanan AFF yang akan bermula pada 23 November ini di Singapura.

Walaupun di dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih menyatakan pasukan ‘Kiwi’ yang menduduki tangga ke-98 dunia itu akan berdepan Harimau Malaya pada 18 November, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mereka tiada pilihan selain membatalkan perlawanan itu.

“Perlawanan persahabatan dengan New Zealand tidak dapat diadakan atas faktor kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai tarikh perlawanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan pasukan pengganti.

Beberapa negara yang sudah menyatakan minat untuk menguji Harimau Malaya selepas berakhir saingan Piala Malaysia pada 8 November nanti adalah Syria selain dua negara yang turut beraksi dalam Kejohanan AFF, Vietnam dan Indonesia, kata Hamidin.

“FAM telah berusaha yang terbaik bagi mengadakan perlawanan ini tetapi menemui jalan buntu setelah pelbagai rundingan diadakan dan sebagai ganti, kami sudah mendapatkan sekurang-kurangnya lima negara lain yang telah memberi maklum balas mahu menentang Harimau Malaya.

“Antara yang bersetuju adalah Syria, Vietnam dan Indonesia. Terdapat beberapa pasukan lain yang menunjukkan minat tetapi kami masih di peringkat rundingan.

“Saya juga sedang berbincang dengan jurulatih, Dollah Salleh dan dalam sedikit masa lagi, kami akan menghebahkan kepada pihak media perancangan pasukan negara sebelum menghadapi Kejohanan AFF termasuk merangka perlawanan-perlawanan persahabatan,” katanya lagi.

Mengikut perancangan awal, Indonesia akan menjadi pengganti kepada Singapura untuk perlawanan persahabatan yang dijadualkan 14 September depan, selain Jordan pada 11 Oktober.

Syria pula akan menguji kesebelasan Harimau Malaya pada 11 November dan lima hari kemudian anak-anak buah Dollah dijadualkan bertemu Vietnam dengan tempat perlawanan masih belum dapat dipastikan.

Sebelum ini, Harimau Malaya membatalkan perlawanan dengan Korea Utara atas alasan yang sama iaitu tarikh yang diminta berdekatan dengan Kejohanan AFF manakala Singapura pula disebabkan pasukan itu diundi bersama-sama Malaysia di dalam Kumpulan B untuk kejohanan itu.

FAM meletakkan sasaran Harimau Malaya sekurang-kurangnya mara hingga ke perlawanan akhir sebagai indeks prestasi utama (KPI) buat Dollah, yang dilantik membimbing skuad itu pada 28 Jun lalu menggantikan Datuk K. Rajagobal.

Diletakkan di dalam Kumpulan B, Harimau Malaya dilihat bakal menempuh perjalan sukar kerana diundi bersama juara empat kali Singapura dan juara tiga kali Thailand selain juara peringkat kelayakan yang masih belum dimuktamadkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.