Peminat Bantu Cari Kereta Taukeh Jambu Yang Dicuri

Petaling Jaya – Pelawak Taukeh (Jambu) bersyukur apabila kereta Myvi berwarna hitam miliknya berjaya ditemui semula dengan bantuan pengguna laman sosial Instagram selepas didapati hilang di kediamannya di Selayang pada Isnin.

Taukeh atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 38, berkata, kereta tersebut dijumpai ditinggalkan di tepi lebuhraya Plus di satu kawasan di Ipoh, Perak selepas mendapat maklumat balas daripada pengguna laman sosial berkenaan.

“Semalam (Isnin) saya sedar kereta tersebut hilang kira-kira pukul 12 tengah hari ketika adik saya ingin keluar ke kedai. Kereta tersebut saya pakir di luar kawasan kondominium saya.

“Pada awalnya kami cari di sekeliling kawasan rumah tetapi tak jumpa, selepas itu saya muat naik status minta pertolongan di laman Instagram dan sejam selepas itu ada pengguna yang beritahu ternampak kereta itu ditinggalkan di lebuhraya Ipoh,” katanya ketika dihubungi.

Taukeh berkata, dia menerima maklum balas tersebut ketika sedang dalam perjalanan untuk membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Katanya, kereta yang dibeli daripada pelawak Shahrol (Shiro) itu juga masih belum ditukar nama berikutan belum habis bayaran pinjaman bank.

“Agak sukar juga untuk buat laporan polis kerana kereta itu bawah nama Shahrol (Shiro), jadi laporan perlu dibuat atas nama Shahrol.

“Kereta itu saya beli daripada dia (Shahrol) sebelum dia menyertai program Raja Lawaklagi kira-kira tiga tahun lalu, kurang lagi setahun untuk habiskan bayaran pinjaman dan tukar hak milik,” katanya.

Kata Taukeh, ia merupakan kereta keduanya yang diberikan kepada adiknya untuk digunakan bagi melakukan aktviti harian keluarga mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.