Khalid Ibrahim Minta Maaf, Hanya Mampu Tersenyum

Shah Alam – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid brahim hari ini secara terbuka meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana mengheret mereka dalam krisis politik pertikaian menteri besar.

Beliau berkata beliau kini membayar “harga” kerana menjadi seorang yang berintegriti.

“Minta maaf kerana perhatian yang diberikan kepada anda. Bagi saya, itu tidak mengapa, kerana saya memilih untuk menjadi ahli politik…. Jadi, saya terpaksa menghadapinya.

“Minta maaf kepada anda kerana datang ke sini bukan untuk terlibat dalam keadaan ini. Itulah harga sebuah integriti,” katanya ketika merasmikan Persidangan Integriti Tahun Ketiga PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Beliau mengulas demikian ketika dibelenggu kontroversi selepas dipecat PKR dua minggu lalu.

“Minta maaf kerana perhatian yang diberikan kepada anda.

“Saya mengambil keputusan menjadi ahli politik jadi saya kena hadapinya,” kata beliau merujuk kehadiran lebih 20 media dalam majlis persidangan integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini.

“Inilah harga integriti,” tambah beliau dalam ucapan yang dihadiri kira-kira 200 penjawat PKNS itu.

Beliau dalam ucapannya turut memetik hadis yang menyebut, bahawa kehancuran akan tiba apabila amanah tidak lagi dipegang teguh.

Para wartawan hari ini sekali lagi kecewa apabila gagal mendapatkan sebarang reaksi daripada Abdul Khalid berhubung laporan Sultan Selangor tidak memperkenakan permohonannya untuk mengadap baginda di luar negara bagi menjelaskan perkembangan politik terkini di negeri itu.

Khalid dilihat cuba tutup mulut dan hanya mampu tersenyum tanpa memberikan sebarang kenyataan ketika diekori sekumpulan besar wartawan walaupun sebelum ini beliau dikenali sebagai mesra media.

Beliau bagaimanapun terus mendiamkan diri dan diiringi hampir 20 pasukan keselamatan yang menghalang wartawan bertanya menahan beliau.

Beliau tampil dalam acara itu hari ini selepas tidak kelihatan dalam 2 acara rasmi yang diadakan semalam.

Sedangkan mengikut jadual beliau sepatutnya menghadiri perjumpaan bulanan dengan penjawat awam anjuran Yayasan Selangor, di Auditorium Jubli Perak tetapi membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir.

Pada petangnya pula, Khalid yang sepatutnya menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bola Sepak Selangor di Kelab Shah Alam pada jam 5.30 petang, tetapi tidak muncul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.