Ketua Pemuda PAS Dakwa, Sultan Nasihatkan Hadi Hantar Dua Nama

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mendedahkan keputusan partinya mengemukakan nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon alternatif menteri besar Selangor adalah disebabkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah mengadap Sultan Selangor dan dinasihatkan menghantar dua nama calon.

Suhaizan berkata PAS tidak pernah mengkhianati Pakatan Rakyat (PR) seperti yang dituduh terhadap parti Islam ketika kemelut menteri besar di Selangor minggu lepas.

“Presiden PAS mempunyai hubungan agak baik dengan istana Selangor.

“Pada Syawal keempat, beliau dititah mengadap Sultan. Hasilnya, presiden membuat keputusan bahawa satu nama alternatif perlu dikemukakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan istana dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,” kata Suhaizan dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata sekiranya PAS mahu mengkhianati PR, mereka boleh menamakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri tersebut dengan membelakangkan DAP dan PKR.

“PAS boleh sahaja mengemukakan nama dari ahli partinya sendiri sebagai alternatif kepada Dr Wan Azizah.

“Namun atas semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat, keputusan itu tidak mungkin dibuat oleh PAS,” katanya.

Menurut Suhaizan, pemilihan nama Azmin dipertimbangkan selepas presiden PAS bertemu dengan Sultan.

“Atas pertimbangan tersebut, PAS mengambil jalan tengah dengan menamakan Azmin (selepas Dr Wan Azizah) sebagai alternatif,” katanya.

Mengenai empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang masih bersama dalam pentadbiran Khalid, beliau menyifatkan langkah tersebut bagi mempertahankan kerajaan PR Selangor.

“Niat PAS adalah baik untuk menyelamatkan kerajaan Selangor sebelum menteri besar yang baru dilantik.

“Minimum exco dalam kerajaan Selangor adalah empat orang maka PAS menggalas peranan ini,” katanya.

Mengenai kritikan terhadap keikhlasan PAS dalam PR, Suhaizan memberi jaminan mereka akan sentiasa bersama dalam menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Atas semangat inilah, saya dengan penuh rendah diri menyeru rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat yang mendokong serta menyokong Pakatan Rakyat, usah ragu dan curiga dengan PAS.

“Kita akan mempertahankan pakatan ini demi berhadapan dengan Umno-BN untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Krisis menteri besar Selangor belum berakhir, bagaimanapun PR sudah mencapai keputusan bersama untuk bersetuju dengan pilihan PKR untuk melantik Dr Wan Azizah sebagai calon menggantikan Khalid.

Kesetiaan dan komitmen PAS sebelum ini dipersoalkan selepas enggan menyatakan pendirian, bagaimanapun Ahad lalu kemelut tersebut selesai selepas PAS membuat keputusan kekal bersama PR tetapi mengemukakan nama Azmin sebagai nama kedua calon menteri besar Selangor selain Dr Wan Azizah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.