Gajah Jantan Mati Ditembak

Kota Kinabalu – Seekor gajah jantan dewasa ditemui mati dengan luka tembakan di tepi jalan, di ladang kelapa sawit Felda Umas, kira-kira 70 kilometer dari Tawau.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Soffian Abu Bakar, berkata mereka menerima panggilan daripada pengurus ladang berkenaan pada jam 9 pagi Jumaat lalu, memaklumkan penemuan bangkai gajah yang dipercayai berusia 18 hingga 25 tahun.

“Gajah itu disahkan mati oleh Pasukan Veterinar Unit Penyelamat Hidupan Liar, akibat kecederaan tembakan, selepas menjalankan bedah siasat ke atas bangkai pada hari sama,” katanya.

Penolong Pengarah SWD, Dr. Sen Nathan, berkata pasukan berkenaan menemui kesan luka kecil di bahagian perut bangkai gajah itu yang terkena peluru.

Menurutnya, hasil pembedahan menemui sebutir peluru, berkemungkinan peluru senapang patah di dalam paru-paru yang menjadi punca kematian gajah itu.

“Peluru itu telah menembusi bahagian perut dan usus yang menyebabkan pendarahan dalaman serius, yang akhirnya menjejaskan fungsi paru-paru,” katanya.

Menurutnya, gajah itu dipercayai telah bertahan sekurang-kurangnya dua hingga empat hari sebelum mati.

Dr Sen berkata, peluru itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.