Cek Diubahsuai, Dua Peniaga Kerugian Lebih RM20, 000

Kuala Lumpur – Dua peniaga rugi lebih RM20,000 selepas mendakwa cek mereka yang digunakan untuk membuat bayaran kad kredit telah dipalsukan.

Salah seorang daripada mangsa berkenaan mula menyedari ditipu selepas menghantar cek-cek tersebut kepada beberapa bank berkenaan menerusi khidmat pos di sebuah peti surat di Selayang Jaya pada Mac dan April lalu.

Mangsa pertama, Leow Chee Keong, 50 mendakwa, dia rugi RM14,484.15 selepas menghantar dua keping cek untuk bayaran kad kredit miliknya.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila dia mendapati salah satu cek yang sepatutnya bernilai RM4,895.78 telah diubah kepada RM8,895.78 dan dikeluarkan atas nama seorang individu tidak dikenali.

“Saya terkejut selepas mendapati jumlah yang didepositkan melebihi angka sebenar ketika membuat pemeriksaan semula.

“Saya sempat meneliti semula sekeping lagi cek yang dihantar dan mendapati nombor siri syarikat saya telah dipadamkan. Perbuatan itu dilakukan dengan teliti sehingga sukar untuk membuat perbezaan.

“Bagaimanapun, saya sempat menghubungi seorang pegawai bank kerana meragui cek ketiga yang ingin dihantar dan cek itu sempat dihalang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam parti itu, Wilson Lau Hoi Keong.

Chee Keong mendakwa, cek bernilai RM8,895.78 yang diubah suai oleh pihak tidak bertanggungjawab itu telah diluluskan oleh pihak bank tersebut tanpa memaklumkan kepadanya.

Menurutnya, menyedari dirinya ditipu, dia membuat laporan di Balai Polis Selayang pada 10 April lalu.

“Saya juga telah melaporkan kejadian ini kepada bank tersebut meminta menyiasat kes ini secara lanjut namun kesal dengan maklum balas yang diterima seolah-olah mereka lepas tangan. Saya tidak pasti siapa dalang dalam sindiket ini tetapi menggesa pihak berwajib mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, mangsa kedua, Cheah Cheng Huat pula mendakwa, dia kerugian RM8,681.90 setelah cek yang dikeluarkannya untuk membuat bayaran kad kredit kepada sebuah bank bernilai RM3,681.90 telah diubah suai jumlahnya menjadi RM8,681.90.

“Saya harap pihak berkuasa akan siasat kes ini dengan segera kerana saya mengalami kerugian besar,” katanya.

Dalam pada itu, Hoi Keong menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera untuk menangani kes penipuan ubah suai cek yang didapati semakin meningkat dan membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menghantar surat kepada bank-bank terlibat, pihak polis dan Bank Negara Malaysia.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang pernah mengalami kes demikian untuk tampil membuat laporan kepada polis dan pihaknya.

“Kami percaya terdapat ramai lagi mangsa yang telah ditipu mangsa dan diharap mereka dapat tampil melaporkan kepada kami,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.