Anak Jackie Chan Ditahan, Milik Dadah

Anak kepada pelakon terkenal dengan aksi seni pertahanan diri dan lagak ngeri, Jackie Chan telah ditahan oleh pihak polis di Beijing kerana memiliki dadah jenis ganja.

Jaycee Chan, 32, dan rakan juga pelakon terkenal Taiwan Kai Ko, 23, diberkas oleh pihak polis bersama ganja seberat 3.5 kilogram di kediaman Jaycee.

Jaycee yang dilahirkan dan dibesarkan di Amerika Syarikat merupakan seorang penyanyi dan  pernah muncul dalam beberapa buah filem di China namun gagal mendapat sambutan hebat. 

Menurut jurucakap pihak polis di Beijing, mereka telah melakukan serbuan selepas intipan dilakukan sejak sekian lama dan  kedua-dua mereka positif dadah jenis kanabis selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Jaycee yang tidak ‘sebulu’ dengan bapanya sejak 2011, selepas Jackie Chan membuat keputusan untuk tidak mewariskan harta yang dimiliki kepada anak lelakinya itu. Sebaliknya keseluruhan wang hasil titik peluhnya dalam dunia lakonan akan didermakan kepada pertubuhan amal sebagai pengajaran buat Jaycee yang tidak mahu bekerja keras sepertinya.

Penangkapan mereka berdua adalah yang terbaru dalam siri tindakan tegas pihak polis Beijing untuk memerangi penyalahgunaan dadah di kalangan selebriti terkenal di China.

Minggu lalu, seramai 42 selebriti terkenal di China telah bersetuju untuk memboikot kalangan selebriti yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Baru-baru ini aktor Gao Hu, 40, telah ditahan pihak polis selepas memiliki dadah jenis syabu dan kanabis di kediamannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.