AMPANG JAYA – Masalah kewangan kritikal menyebabkan pemandu e-hailing, Syahrul Asyraf Dahlan menghilangkan diri sebelum ditemukan selamat di tepi jalan Pandamaran, Klang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya berjaya mengesan lelaki berusia 33 tahun berkenaan di lokasi terbabit jam 5.40 petang tadi.
“Ketika ditemui, lelaki itu dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan fizikal.
“Hasil temu bual awal pihak polis mendapati lelaki itu tidak memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai keberadaannya kerana dalam keadaan tekanan berikutan masalah kewangan kritikal.
“Pihak polis juga sudah maklumkan kepada ahli keluarga bahawa orang hilang terbabit dijumpai dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Syahrul Asyraf, 33, yang dilaporkan hilang sejak 12 Julai lalu sudah ditemui di sekitar Klang, Selangor hari ini.
Difahamkan Syahrul ditemui kira-kira jam 5.40 tadi. – Hmetro