Video: Gadis Ini Lalui Detik Cemas Kepala Tersepit Ketika Guna Eskalator

Seorang gadis di China berdepan detik mencemaskan apabila kepalanya tersangkut di ruang sempit antara eskalator dan dinding dipercayai di sebuah pusat membeli-belah.

Daily Mail yang memetik Eastday melaporkan kejadian mendebarkan itu berlaku di Liaoyang, wilayah Liaoning tetapi tidak dipastikan bila dan masa insiden itu berlaku.

Ketika kejadian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan gadis yang tidak didedahkan identiti itu dilihat menaiki tangga bergerak berkenaan. Sebaik sahaja menaiki eskalator, gadis malang itu bertindak memandang ke tingkat bawah di sebelah kiri yang berhampiran dengan dinding.

Dalam keadaan eskalator yang sedang bergerak, mangsa tidak menyedari bahawa jarak kepalanya dengan dinding semakin hampir, lalu menyebabkan kepalanya tersekat antara ruang kecil tersebut.

Mangsa dilihat bergelut untuk menyelamatkan diri dan kepalanya diseret beberapa meter ke hadapan, namun dia bernasib baik kerana sebaik sahaja sampai ke bahagian atas tangga, dia berjaya melepaskan diri dan menarik kepalanya daripada ruang di antara eskalator dan dinding berkenaan.

Seorang lelaki dan wanita yang berada di hadapan mangsa dilihat terkejut dan segera berlari ke depan selepas menyaksikan kejadian menimpa mangsa. Tiada mana-mana pengunjung cuba membantu mangsa pada masa itu.

Difahamkan, mangsa yang pergi seorang diri ke pusat membeli-belah itu menangis akibat kesakitan dan dilihat duduk di kerusi dalam keadaan berlumuran darah di bahagian telinga. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.