Tidak Wajar Ahli Parlimen PH Tinggalkan Dewan Ketika Sesi Perbahasan Berlangsung

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meninggalkan Dewan Rakyat pada sesi perbahasan petang semalam adalah sebagai tidak wajar.

Walaupun, ada alasan mengatakan kekosongan banyak kerusi di pihak kerajaan itu disebabkan menghadiri mesyuarat Kabinet, tetapi mesyuarat itu hanya melibatkan menteri sahaja, bukan timbalan Menteri dan ahli-ahli Parlimen.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad berkata, ketika Barisan Nasional (BN) di pihak kerajaan sebelum ini, mereka tidak pernah bertindak meninggalkan dewan sehingga semua kerusi kosong.

“Saya lihat kerajaan (PH) ini belum biasa jadi kerajaan, mereka sudah menjadi pembangkang dan selalu keluar dewan, sebab itulah bila mereka jadi kerajaan pun, mereka terbawa-bawa perangai keluar dewan beramai-ramai.

“Keluar dewan oleh pihak kerajaan ini berlaku di awal sesi persidangan lagi, iaitu ketua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berbahas, sudah ramai Ahli-Ahli Parlimen kerajaan tidak duduk di tempat masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program “Bicara Hasanah” di Auditarium Bangunan Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan sebahagian besar Ahli Parlimen kerajaan keluar dewan menyebabkan kerusi mereka kosong, sedangkan ketika itu pembangkang sedang berbahas ucapan terima kasih dan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, Ahli Parlimen keluar masuk dewan ketika sesi persidangan adalah perkara biasa, tetapi jika keluar dan tidak masuk-masuk, itu dianggap luar biasa.

“Kita tahu Ahli Parlimen boleh keluar masuk, tetapi kalau keluar tidak masuk-masuk itu agak kurang sesuai sikitlah, kerana peran kita sebagai Ahli Parlimen, lebih lagi berjawatan (Menteri dan Timbaan Menteri) selalunya akan duduk mendengar terutamanya apabila perbahasan mengenai titah diraja dan sokong titah dan ucapan Ketua Pembangkang.

“Sebab kita dulu jadi kerajaan, kita ada, kita tunggu pembangkang berhujah sampai habis,” katanya.

Ditanya tindakan itu mungkin disebabkan Mesyuarat Kabinet, ujar beliau, ia hanya (melibatkan) Menteri sahaja, bukan Timbalan Menteri.

“Tapi yang kosong semalam melibatkan kerusi Timbalan Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen. Kita faham ada Mesyuarat Kabinet, tapi masa BN jadi kerajaan (dahulu) kita tunda mesyuarat pada hari Jumaat bagi menghormati waktu bersidang di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette

2 thoughts on “Tidak Wajar Ahli Parlimen PH Tinggalkan Dewan Ketika Sesi Perbahasan Berlangsung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.