PAS Umum Tak Bertanding PRK Sungai Kandis, Beri Laluan Satu Lawan Satu

SHAH ALAM – PAS tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata ketetapan itu dibuat sejurus UMNO membuat keputusan untuk meletakkan calon pada PRK berkenaan.

“Oleh kerana UMNO memutuskan untuk menyertai (bertanding) PRK ini, PAS tidak akan letakkan calon. Kenyataan lebih terperinci bagaimanapun akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada BERNAMA.

Roslan Shahir berkata PAS tetap dengan prinsip yang dipegang sebelum ini bahawa pertandingan satu lawan satu bakal memberi peluang terbaik buat pembangkang.

Berhubung sama ada PAS akan bekerjasama dengan UMNO pada PRK itu, beliau berkata isu itu tidak berbangkit kerana PAS cuma memutuskan untuk tidak bertanding.

“Selebihnya akan dihuraikan lebih lanjut oleh setiausaha agung parti,” katanya.

PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu, akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). – BH

One thought on “PAS Umum Tak Bertanding PRK Sungai Kandis, Beri Laluan Satu Lawan Satu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.