Ambulans Terbabas, Pesakit Meninggal Dunia

ALOR SETAR – Seorang pesakit berusia 65 tahun yang terbabit dalam kemalangan selepas ambulans dinaikinya terbabas di Kilometer 81.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang semalam, meninggal dunia malam tadi.

Dalam kejadian jam 6.25 petang itu, enam orang cedera selepas ambulans yang dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Alor Setar terbabas akibat tayar pecah berdekatan kawasan Gurun.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata pesakit terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 8.40 malam.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan hari ini untuk mengenal pasti punca kematiannya, manakala mangsa lain yang turut cedera kini berada dalam keadaan stabil.

“Ketika kejadian, ambulans itu dalam perjalanan menghantar seorang pesakit yang menghidap penyakit jangkitan serius bagi mendapatkan rawatan subkepakaran di HSB.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berwajib, namun maklumat awal mendapati ia kemungkinan berkaitan tayar ambulans yang meletup menyebabkannya terbabas di tepi lebuh raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Norhizan berkata, selain siasatan pihak polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan insiden itu termasuk menyemak aspek berkaitan ambulans terbabit.

“Mangsa terdiri pemandu ambulans, dan lima penumpang membabitkan seorang pegawai perubatan, jururawat terlatih, pesakit, pembantu perawat kesihatan dan waris pesakit.

“Panggilan kecemasan diterima pada jam 6.31 petang dan ambulans respons HSB tiba di tempat kejadian jam 6.59 petang sebelum rawatan kecemasan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, empat mangsa termasuk pesakit dibawa dengan dua ambulans HSB manakala dua lagi kakitangan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

NSTP semalam, melaporkan enam orang cedera selepas ambulans dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Alor Setar terbabas akibat tayar pancit di Kilometer 81.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Gurun.

Dalam kejadian itu, mangsa terdiri daripada seorang pesakit, 65; waris pesakit, 54; doktor, 30; jururawat, 20; pembantu perubatan dan pemandu ambulans, 40. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.