Zahasmi Lega Kelantan Dapat Tewaskan Kedah 

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail berpuas hati dengan disiplin dan kesungguhan pemainnya sehingga pasukan itu berjaya menewaskan Kedah pada aksi kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Zahasmi berkata pada perlawanan itu, pemainnya mematuhi semua perancangan yang dilakukan olehnya walaupun terdapat perubahan taktikal berbanding perlawanan sebelum ini, seperti memetik Bernama.

“Saya lihat pemain mempunyai keyakinan diri dan disiplin untuk bermain dengan corak permainan mereka yang sebenar, mereka (pemain) banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan tidak melakukan banyak kesilapan, corak permainan sebegini yang saya mahukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut di sini.

Pada perlawanan itu, Kelantan menewaskan Kedah 3-1 hasil jaringan Margaro Gomis pada minit ke- 54 dan Abou Bakr Al-Mel pada minit ke-65 dan minit ke-90 manakala gol Kedah dijaringkan oleh Liridon Krasniqi pada minit ke-85 hasil sepakan penalti.

Zahasmi berkata walaupun berjaya menewaskan pasukan Kedah pada perlawanan tersebut, beliau mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama barisan penyerang.

“Penyerang kami perlu menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya.

“Kemenangan malam ini memberikan motivasi dan menghidupkan peluang pasukan kami untuk meneruskan perjuangan pada saingan Piala Malaysia ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah Mohd Nidzam Yusoff berkata beliau kecewa dengan persembahan anak buahnya kerana melakukan banyak kesilapan sehingga membolehkan pasukan tuan rumah menggunakan kesilapan yang dilakukan itu untuk menghasilkan gol.

“Dua gol Kelantan hasil daripada kesilapan pertahanan kami yang gagal membuat keputusan tepat apabila bola berada di kawasan sendiri, mungkin ini disebabkan keletihan apabila terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.