Video: Kerajaan Kaji Tuntutan India Muslim Sebagai Bumiputera

SERDANG – Kerajaan akan mengkaji secara mendalam untuk menerima tuntutan komuniti India Muslim untuk diiktirafkan sebagai Bumiputera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, katanya, soal bagaimana ia dilaksanakan memerlukan kajian lebih mendalam sama ada dari segi pentadbiran atau perwartaan.

“Saya mendengar tuntutan yang dibuat oleh Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) Dhajudeen Shahul Hameed dan saya menerima bahawa India Muslim adalah sebagai Bumiputera,”katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama badan bukan kerajaan (NGO) India Muslim Semalaysia di sini, malam ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut menerima pandangan Dhajudeen untuk mendirikan satu pusat komuniti India Muslim agar wakil-wakil masyarakat itu dapat berunding dengan beliau mengenai apa jua perkara.

PERMIM menuntut tiga perkara iaitu mewartakan komuniti itu sebagai Bumiputera, mendirikan satu mercu tanda India Muslim di Kuala Lumpur atau Putrajaya, serta melantik seorang pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri bagi mengelolakan hal ehwal kira-kira satu juta komuniti India Muslim di negara ini.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan kira-kira 10,000 Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) telah bersetuju untuk memberikan diskaun sehingga 20 peratus berkuat kuasa serta-merta di semua premis perniagaan mereka sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), mereka akan menikmati kad diskaun sebanyak 20 peratus, siswa (10 peratus) manakala pemegang kad pengguna (Friends of Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) akan menikmati diskaun sebanyak lima peratus.

Majlis yang dihadiri lebih 15,000 pemimpin dan anggota NGO India Muslim bersama keluarga masing-masing turut menarik perhatian perdana menteri sehingga beliau menzahirkan rasa kagum, terharu dan teruja melihat sokongan komuniti itu terhadap kepimpinan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya boleh membuat kesimpulan bahawa komuniti dan masyarakat India Muslim di negara kita merupakan penyokong kukuh dan setia kepada BN”.

Najib turut mengakui sumbangan besar komuniti India Muslim kepada negara sejak dahulu terutama dalam penyediaan makanan restoran dengan beliau difahamkan terdapat kira-kira 10,000 restoran India Muslim Malabari dan Pakistan di negara ini.

Beliau berkata meskipun generasi baharu golongan India Muslim memilih pekerjaan seperti akauntan, peguam dan jurutera daripada bidang tradisional perniagaan pertukaran wang asing dan penjual surat khabar, namun sokongan dan komitmen komuniti itu kepada kerajaan sedia ada masih tidak berubah.

“Saya mahu membawa Malaysia sebaris dengan negara teratas 20 negara di dalam dunia pada masa akan datang. Untuk itu, kita mestilah bersedia melangkau pilihan raya umum ke-14. Hari ini kita sambut Aidilfitri. Tidak lama lagi kita sambut ‘hari raya’ satu lagi yang memerlukan sokongan India Muslim, mahu jadikan visi baharu Malaysia.

“Kita boleh buat dan boleh melakukan perubahan dan transformasi kepada negara. Kalau tuan puan mahu kerajaan melakukan transformasi pada negara, kerajaan yang bersifat inklusif mendampingi semua komuniti besar dan kecil termasuk India Muslim akan terus dibina oleh kerajaan BN,”katanya.

Perdana menteri juga mengakui meminati makanan India Muslim antaranya beriani, capati, tosei dan nasi vanggey di Ipoh, sehinggakan setiap kali beliau melawati bandar itu, beliau akan menelefon pengurus restoran itu untuk menghantar nasi vanggey kepadanya di Ipoh atau ke Kuala Lumpur.

“Hubungan saya secara peribadi dengan India Muslim adalah sangat rapat dan mudah-mudahan semua di sini akan memberi sokongan kepada kerajaan kepimpinan saya. Ada orang di sebelah sana, ada orang tertentu yang juga India Muslim tetapi saya percaya komuniti India Muslim lebih menyokong saya dan berharap hubungan ini akan berterusan selama-lamanya,”katanya. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.