Remaja Khayal Dipesta Dadah

BESUT – Polis menahan 11 remaja berumur antara 17 hingga 22 tahun ketika sedang khayal akibat mengambil dadah dan berpesta di sebuah inap desa di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, pasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik Daerah (BJND) Besut telah menyerbu inap desa terbabit setelah mendapat laporan daripada orang awam, lapor Kosmo.

Katanya, pasukan itu terpaksa mengumpil pintu inap desa berkenaan sebelum masuk dan menahan kesemua suspek yang dalam keadaan terpinga-pinga dan khayal serta bunyi muzik yang kuat.

“Hasil siasatan, pasukan BJND menjumpai pelbagai jenis dadah dari jenis Erimin 5 sebanyak 30 biji dan Ecstasy lima biji serta ketulan kecil pil Yaba seberat 0.20 gram yang disorok di bahagian tandas inap desa berkenaan”, kata Mohd. Zamri dalam satu sidang media di IPD Besut di sini hari ini.

Turut dirampas daripada remaja terbabit ialah alat pemotong besi, Siku T Tirus yang dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal dan parang.

Katanya, empat daripada mereka yang ditahan adalah pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sekitar Alor Lintang, di sini dan hasil ujian air kencing mendapati hanya seorang sahaja yang didapati negatif dadah manakala yang lainnya positif Methamphetamine.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.