Pastor Joshua Digesa Jangan Biadap Dengan Umat Islam

KUALA LUMPUR – Jangan bersikap kurang ajar dan biadap dalam konteks menyentuh sensitiviti umat Islam dan agama Islam dalam negara ini. Jika masih berdegil, maka akan tahu langit itu tinggi atau rendah.

Demikian kata, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ibrahim Ali, yang turut memberi amaran keras kepada Pastor Joshua Woo Sze Zeng susulan laporan terkini beliau yang bertajuk “Al-Quran Benarkan Kafir Murtadkan Umat Islam”.

Ibrahim Ali turut menyeru umat Islam supaya perlu mengambil sikap berhati-hati terhadap Pastor Joshua kerana beliau juga bergiat aktif dalam politik DAP dan Pakatan Harapan.

“Inilah padahnya apabila umat Islam berdiam diri, orang kafir akan mula naik tocang dan tidak sedarkan diri. Apabila mereka bercakap seolah-olah mereka lebih tahu mengenai Al-Quran dan agama Islam maka petandanya mereka sedang bersungguh-sungguh untuk mengharu-birukan Islam dan umat Islam.

“Beliau juga mengeluarkan kenyataan tersebut dalam tulisannya yang disiarkan dalam portal tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pastor Joshua Woo Sze Zeng mendakwa Al-Quran membenarkan golongan bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada umat Islam namun perundangan Malaysia menjadi batu penghalang.

“Paderi Kristian ini menafsirkan sesuka hati terjemahan ayat al-Quran yang berbunyi “Untukmu agamamu, dan untukku agamaku” (Surah Al-Kafirun: 6). Tafsirannya juga ternyata salah. Bagi ayat 5 dan 6 Surah Al-Kafirun, maksudnya adalah seperti berikut: “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat (5) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat” (6).”

Tambahnya, bagi menghalalkan usaha untuk murtadkan orang Islam, paderi ini menegaskan bahawa penganut Kristian sepatutnya perlu dibenarkan untuk berdakyah kepada umat Islam Malaysia kerana itu merupakan tuntutan agama mereka.

“Ini merupakan pembohongan yang nyata. Beliau berkata, “Sekiranya ajaran al-Quran tentang saling menghormati amalan-amalan agama dipenuhi, tentulah hak golongan bukan Islam untuk berdakyah kepada umat Islam dipertahankan sebagaimana hak orang Muslim untuk berdakwah kepada Kristian dipertahankan”.

“Dalam konteks Malaysia, hak bukan Islam untuk berdakyah kepada umat Islam sememangnya tidak dibenarkan. Ini dengan jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah beliau buta Perlembagaan Persekutuan atau tidak pernah membacanya? Perlembagaan Persekutuan membenarkan menganut dan mengamalkan agama masing-masing (Artikel II (1), Perlembagaan Persekutuan).

“Akan tetapi terdapat larangan penyebaran dan pendakyahan agama selain Islam kepada orang Islam (Artikel II (4), Perlembagaan Persekutuan). Maka, kenapakah Pastor Joshua masih berdegil tidak mahu memahami perlembagaan dan membawa tafsiran yang salah pula mengenai ayat Al-Quran seperti yang dinyatakan di atas? Beliau juga sepatutnya tidak mempertikaikan hak umat Islam untuk berdakwah terhadap golongan bukan Islam kerana Islam adalah agama Persekutuan,” tegas Ibrahim Ali.

Menurutnya, pastor Joshua pernah menimbulkan masalah sebelum ini.

“Dalam laman blognya, beliau pernah menuduh sistem pendidikan negara sendiri sebagai ancaman bagi agama Islam di samping menyenaraikan pelbagai hujah-hujah termasuk daripada hadis Nabi yang membenarkan umat Islam untuk murtad tanpa dijatuhkan sebarang hukuman.”

Ibrahim Ali turut menekan bahawa kenyataan dan penjelasan beliau ini tidak di salah faham dan di jadikan isu serta polimik kecam mengecam.

“Perkasa menjalin hubungan yg baik dgn CPHM terutama pastor-pastor dan bishop,” katanya sambil menambah Perkasa mahu kekalkan keharmonian yang baik dan jangan lakukan provokasi serta hormatlah Perlembagaan dan undang-undang negara. – Beritadaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.