Lofa Tak Tahu Rancangan Percutian Fattah, Fazura

KUALA LUMPUR: Pengacara Neelofa, 28, menjelaskan beliau tidak melarikan diri sebaliknya bersikap profesional ketika terserempak dengan pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin, di lapangan terbang.

Neelofa atau pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor juga mengaku tidak tahu menahu mengenai rancangan pasangan terbabit untuk bercuti di pulau yang sama, baru-baru ini.

“Kalau saya jadi mereka, saya akan terus saja naik pesawat yang sama kerana saya takkan membuat perkara membahayakan mereka. Itu pendapat peribadi saya saja.

“Kami berselisih pada jam 6.30 pagi di lapangan terbang ketika saya hendak mendaftar masuk bagasi dan kali kedua terserempak di bahagian menunggu.

“Saya sudah lama merancang untuk bercuti, sejak 16 Jun lalu, dan segala urusan penginapan sudah ditempah pada tarikh itu. Saya meneruskan juga percutian kerana sudah lama berhasrat untuk berehat,” kata bintang Suri Hati Mr Pilot itu kepada BH Online.

Pengacara Meletop yang mesra disapa dengan panggilan Lofa itu diminta mengulas mengenai isu ‘mengganggu’ percutian teraju utama drama rantaian Hero Seorang Cinderella berkenaan ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi satin Neelofar Scarf di Hotel Royale Chulan Damansara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Neelofa mengakui kecewa apabila isu percutiannya itu diperbesarkan oleh sesetengah pihak dan turut kesal dituduh sengaja merosakkan ‘mood’ percutian Fazura dan Fattah.

“Saya terkejut bagaimana isu ini menjadi viral dengan begitu pantas. Saya menganggap perkara ini sebagai ujian Allah dan bagaimana saya berhadapan dengannya,” kata Neelofa.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.