Lelaki Dewasa Mangsa Kelima Penyakit Anjing Gila

KUCHING – Seorang lelaki disahkan dijangkiti rabies, atau penyakit anjing gila di daerah Serian, menjadikan beliau sebagai orang kelima yang dijangkiti penyakit itu sejak dikesan di daerah berkenaan bulan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Serian itu disahkan dijangkiti rabies menerusi ujian makmal pada 18 Julai.

Menurutnya lelaki itu mempunyai sejarah digigit anjing pada awal Mei lepas, dan pada 11 Julai lalu beliau yang mengalami lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

“Oleh itu, sehingga 18 Julai ini, terdapat lima kes rabies di Serian, Sarawak, yang mana empat kes telah meninggal dunia, dan satu sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada laman web hari ini.

Dua hari lepas, seorang kanak-kanak Florancesia Edward, 5, menjadi pesakit keempat meninggal dunia di hospital itu akibat rabies. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.