Jenayah Anti Islam Meningkat Di AS

WASHINGTON – Jumlah jenayah kebencian terhadap orang Islam meningkat 91 peratus sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2016, lapor agensi berita Turki, Anadolu yang memetik kenyataan sebuah kumpulan penyokong Islam utama kelmarin.

Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) berkata, jumlah jenayah kebencian melonjak berbanding tempoh sama pada 2016 yang merupakan tahun paling buruk melibatkan insiden anti-Islam sejak pertubuhan hak awam itu mula menyimpan rekod pada tahun 2013, lapor Bernama.

Menurut laporan tersebut, jumlah insiden prejudis dalam enam bulan pertama 2017 turut meningkat sebanyak 24 peratus.

Insiden paling kerap direkodkan oleh CAIR pada separuh kedua tahun 2017 melibatkan gangguan yang ditakrifkan sebagai insiden tidak ganas atau mengancam.

Insiden kedua paling kerap berlaku adalah jenayah kebencian yang melibatkan keganasan fizikal ataupun kerosakan harta benda.

CAIR berkata, pencetus utama insiden anti-Islam pada tahun ini masih lagi etnik dan negara asal mangsa, menyumbang 32 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“20 peratus insiden ini berlaku kerana mangsa dianggap beragama Islam.

“Pemakaian tudung oleh wanita Islam pula menyumbang 15 peratus lagi insiden seumpamanya,” kata seorang penyelaras CAIR, Zainab Arain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.