Gerakan Puji Tindakan ADUN Penanti Persoal Kos Cadangan LRT P.Pinang

GEORGE TOWN – Tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin yang mempersoalkan kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri adalah satu langkah berani dan patut dicontohi, kata Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong.

Beliau berkata wakil rakyat daripada PKR itu berani mempersoalkan kerajaan negeri pimpinan DAP demi untuk rakyat negeri ini dan wajar dicontohi wakil-wakil rakyat pakatan harapan di negeri ini.

“Apa yang dipersoalkan oleh ADUN Penanti itu ada kebenarannya kerana Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) oleh kerajaan persekutuan hanya menelan kos RM21 bilion tanpa sebarang aktiviti yang boleh mencemari alam sekitar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isnin lepas, Norlela dilapor memuatkan “live video” dalam status Facebooknya, pengalaman pertama beliau menaiki MRT dan dalam satu video berasingan, beliau membuat perbandingan antara kos MRT yang rendah dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang dirancang kerajaan Pulau Pinang hanya dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan projek MRT SBK sepanjang 51 kilometer (km) dengan 31 stesen, yang dijangka akan memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia selain pelancong yang berkunjung ke ibu negara.

Oh berkata kerajaan negeri pimpinan DAP terus berdegil untuk meneruskan projek PIP walaupun tindakan itu dibantah penduduk negeri dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Saya sendiri pun tidak faham kenapa mereka (kerajaan negeri) berdegil untuk meneruskan projek itu sedangkan PIP ini akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan bahawa projek PIP yang menelan kos RM27 bilion itu juga membabitkan pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5km, tiga lebuh raya dan Penang Sky Cab.

Terdahulu Oh yang melawat kawasan banjir kilat di Bayan Lepas di sini melahirkan rasa  kesal  kerana kerajaan negeri masih gagal memagar longkang besar yang meragut nyawa seorang lelaki dalam kejadian banjir kilat Jumaat lepas.

“Walaupun kini sudah hampir seminggu kejadian itu, tiada sebarang tindakan diambil untuk memagar kawasan itu demi keselamatan orang ramai sekiranya berlaku lagi banjir kilat,” katanya.

Jumaat lepas, Lim Kean Chuan, 59, maut apabila terjatuh ke dalam longkang besar yang tidak dipagar berhampiran Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) apabila dia keluar daripada keretanya untuk menyelamatkan diri ketika banjir kilat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.