CR-V Baharu Dapat 1,400 Tempahan Dalam Seminggu

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia Sdn Bhd mendapat 1,400 tempahan bagi All-New CR-V generasi kelima dalam seminggu selepas pelancarannya pada 12 Julai, bersamaan dengan sasaran jualan dua bulan yang ditetapkan bagi model baharu berkenaan.

Syarikat menetapkan sasaran jualan bulanan sebanyak 700 unit bagi model baharu itu, menurut Honda Malaysia.

“Daripada empat varian yang diperkenalkan bagi All-New CR-V,  Turbocharged Premium 2WD 1.5L merupakan yang paling popular, menguasai 40 peratus daripada tempahan, diikuti dengan Turbocharged 2WD 1.5L pada 31 peratus,  i-VTEC (2WD) 2.0L pada 20 peratus dan 1.5L Turbocharged 4WD pada sembilan peratus,” katanya dalam satu kenyataannya.

Pengeluar kereta itu berkata 80 peratus daripada tempahan berkenaan adalah bagi varian turbocharge dan bakinya untuk varian bukan turbocharge, dan menambah nisbah tersebut membuktikan kematangan pasaran Malaysia yang menerima kemajuan teknologi.

“Meskipun permintaan yang tinggi bagi All-New CR-V, Honda Malaysia bekerja keras bagi memastikan tempoh menunggu bagi pelanggan kekal pada tahap standard selama satu hingga dua bulan tanpa kompromi terhadap kualiti,” katanya dan menambah yang syarikat menyasar untuk menyerahkan kereta kepada pelanggan pada September.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.