Bila MRT Siap Puak Pembangkang Mula Meroyan

Sejak beberapa hari ini, MRT atau Transit Aliran Massa (MRT) menjadi perkataan popular di kalangan pembangkang tambah-tambah lagi selepas Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemimpin pembangkang masing-masing mahu mengambil bahagian dengan memberikan pandangan berhubung pelaksanaan sistem pengangkutan awam yang moden dan mampu memberikan manfaat kepada lebih 1.2 juta penduduk di ibu kota ini.

Seperti biasa, tiada perkataan elok yang dikeluarkan, semuanya jelas menunjukkan akan keangkuhan dan cemburu mereka.

Antaranya, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang memilih untuk menyalahkan UMNO dan menuduh parti itu merampas majlis pelancaran MRT. Nampak benar beliau tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri yang menerima pujian ramai di atas pembinaan MRT berkenaan.

Apatah lagi pembangunan SBK itu merupakan cetusan idea Najib sendiri. Lagi la meroyan puak pembangkang apabila mendapati idea Najib berjaya dilaksanakan sedangkan mereka masih terkial-kial memikirkan cara untuk menggulingkan beliau.

Selain Azmin, perangai Nurul Izzah juga `tak boleh blah’. Beliau dengan angkuhnya menyatakan Pakatan Harapan boleh menyediakan projek MRT yang lebih baik untuk rakyat.

Cara Nurul Izzah bercakap seperti beliau hidup di awang-awangan. Langsung tidak berpijak di bumi yang nyata. Nurul Izzah sepatutnya melihat kepada kepincangan yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum memberikan pandangan.

Di Selangor, cuba lihat kos mengecat pintu gerbang. Kosnya sahaja sudah bernilai RM9.8 juta, begitu juga dengan kos menggantikan sebuah kubah masjid yang menelan perbelanjaan RM32.4 juta serta pembinaan pejabat pentadbiran masjid yang sama sehingga mencecah RM33.3 juta. Bukankah ia menunjukkan berlaku kegagalan urus tadbir.

Isu ini sudah lama dibangkitkan tetapi PH hanya mendiamkan diri.

Begitu juga di Pulau Pinang. Pembinaan lorong basikal yang dilaksanakan oleh DAP Pulau Pinang menelan per­belanjaan yang sangat besar iaitu sehingga RM30 juta. Sedangkan projek sama bagi pembinaan lorong berbasikal sepanjang 12.5 kilometer di Amerika Syarikat (AS) hanya RM6 juta.

Itu belum lagi bab projek Terowong Pulau Pinang menelan belanja US$162 juta bagi setiap km (mengikut kadar tukar matawang 2011) berbanding kos terowong Barcelona adalah US$39 juta bagi setiap km.

Tidak terkecuali adalah Rafizi Ramli yang terkenal dengan jolokan Ahli Parlimen yang suka `bergurau’. Beliau kononnya akan membuat pendedahan terbaru mengenai MRT dan Prasarana yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tak habis-habis dengan 1MDB. Kalau anda terlupa, elok diingatkan semula bagaimana kajian yang dijalankan oleh beliau mengenai MRT hanya syok sendiri apabila Rafizi membuat perbandingan antara projek MRT Laluan Seoul 9 dengan MRT1 laluan SBK.

Rafizi mendakwa biarpun dibina di bawah tanah, laluan Seoul 9 itu 2.5 kali ganda lebih murah daripada projek MRT1 bagi laluan SBK.

Rafizi membuat kajian itu berdasarkan blog yang tidak sahih iaitu ‘Pedestrian Observation’. Kononnya minggu depan ada lagi pendedahan yang akan dilakukan Rafizi. Mari kita tunggu apa pula putar belit yang akan beliau sampaikan

Yang pasti, beliau akan berterusan mengelirukan rakyat dengan tuduhan palsunya dalam usahanya mencetus kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Hakikatnya walau apa jua yang diperkatakan oleh pembangkang sama ada baik atau buruk, realitinya kerajaan berjaya melaksanakan pembangunan dan projek untuk manfaat rakyat. Ia dilaksanakan ketika negara dikatakan akan bangkrap oleh pembangkang.

Sebab itulah pembangkang tidak boleh menerima hakikat MRT laluan SBK berjaya disiapkan kerana ia sama sekali menepis dakwaan bahawa Malaysia akan bankrap .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.