Anjing Dari Perak Dan Sarawak Tidak Dibenarkan Masuk Pulau Pinang Untuk Elak Wabak Rabies

UKIT MERTAJAM, – Kerajaan negeri Pulau Pinang melarang kemasukan anjing dari Perak dan Sarawak berkuat kuasa serta merta bagi membendung penularan wabak rabies atau anjing gila ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata tindakan tegas itu sebagai langkah awal mengelakkan sebarang kemungkinan susulan kes rabies atau penyakit anjing gila di Serian, Sarawak dan Kuala Sepetang, Taiping di Perak.

“Selain itu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang juga mengadakan sekatan jalan raya di sempadan negeri Pulau Pinang bagi membuat pemantauan aktiviti pemindahan (membawa lari anjing) dari Perak ke negeri ini. Larangan itu khusus untuk anjing yang dipelihara manakala bagi anjing liar kami dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan negeri sentiasa membuat pemantauan.

“Pulau Pinang pernah dilanda wabak itu pada September 2015 tetapi sehingga hari ini tiada lagi kes rabies di Pulau Pinang. Kerajaan negeri bersama JPV Pulau Pinang sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga…kami juga membuat pemantauan berterusan supaya tidak ada penularan wabak itu di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik anjing juga diwajib mendapatkan suntikan vaksin untuk haiwan peliharaan mereka supaya dapat membendung penularan wabak itu dan jika gagal berbuat demikian mereka boleh didenda sehingga RM5,000.

Dr Afif berkata mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin di JPV di Bukit Tengah atau Klinik JPV di Jalan Gurdwara, George Town atau mana-mana klinik veterninar swasta di Pulau Pinang.

“Ketika ini JPV mempunyai 3,870 botol vaksin dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan semasa, malah bilik gerakan JPV yang dibuka berikutan wabak rabies melanda Pulau Pinang dulu juga masih dibuka sehingga hari ini dan pemilik anjing boleh datang untuk mendapatkan suntikan. Bilik gerakan boleh dihubungi di talian 04-5041047,” katanya.

Beliau berkata terdapat 7,500 ekor anjing berlesen di Pulau Pinang dan kesemuanya telah menerima suntikan vaksin namun beliau percaya banyak lagi anjing yang dipelihara tiada lesen serta tidak mendapatkan vaksin manakala pihaknya menjangka terdapat lebih 10,000 ekor anjing liar di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan memantau anjing liar  dan orang ramai juga diminta agar lebih berhati-hati khususnya mereka yang membawa anak kecil bermain di taman-taman permainan yang adakalanya terdapat anjing liar.

“Pemilik haiwan peliharaan terutama anjing dan kucing juga digalakkan mendapatkan kad pengenalan haiwan Malaysia untuk haiwan peliharaan masing-masing bagi memudahkan proses penyimpanan maklumat serta rekod oleh JPV dan dokumen pengenalan berwarna biru iaitu dokumen rasmi melalui Projek Malaysian Animal Traceability System (MATS).

“Pasport haiwan ini penting kerana ia mengumpul maklumat mengenai haiwan kesayangan dalam satu dokumen, yang akan memudahkan pihak berkuasa di sempadan negara mengesahkan rekod kesihatan dan imunisasi haiwan peliharaan menerusi mikrocip ditanam di bawah kulit haiwan peliharaan itu. Ia memudahkan haiwan itu dibawa ke luar negara dan memudahkan rekod kesihatan dikenal pasti serta kawalan penyakit,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.