3 Kawasan Di Sarawak Diisytihar Kawasan Wabak Anjing Gila

Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak semalam mengisytiharkan tiga lagi kawasan iaitu Pekan Siburan, Kampung Temang Mura, Tebedu dan Rumah Janta Punggu Mawang di Sri Aman sebagai kawasan wabak anjing gila.

Sekreatariat JPBN Sarawak dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Menteri merangkap Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Mesyuarat penyelarasan turut dimaklumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bahawa laporan hasil keputusan makmal yang baru diterima mendapati masih terdapat sampel positif anjing dan kucing dalam lingkungan 10 kilometer kawasan wabak di Bahagian Serian (Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang,Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Bandar Serian dan Batu 45 Jalan Kuching-Sri Aman).

“Operasi bersepadu yang dikelolakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan Kementerian Kerjaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah giat dijalankan di pasar batu 7, 10 dan Siburan, operasi ini dijalankan selepas pengisytiharan Pekan Siburan sebagai kawasan positif rabies kepada anjing,” kata kenyataan itu.

Sebagai rekod, tujuh kawasan iaitu Kampung Tangga, Kampung Paon Sungai Rimu, Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Krait dan Kampung Saroban sebelum ini telah diisytihar sebelum kawasan wabak rabies.

Menurut sekreatariat itu, sehingga semalam, JPVS telah memvaksin 9,185 ekor haiwan, dari jumlah tersebut 2,656 ekor anjing, 6,491 ekor kucing dan 38 ekor lain-lain.

“Sebanyak 146 kes gigitan baru telah dikesan yang berlaku dari 2 hingga 18 Julai di mana 49 kes merupakan kes gigitan yang berlaku pada hari ini. Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku semenjak 1 April hingga ke hari ini berjumlah 415, seramai 298 orang telah datang untuk menerima vaksin,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat penyelarasan semalam turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Zoonosis Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Vickneshwaran Muthu, Non-Executive Directors of Vets Beyond Borders Australia Dr Andrea Britton dan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan Sarawak.

Wabak rabies telah meragut empat nyawa di negeri ini.

Kelmarin, Florancesia Edward, berusia 5 tahun, dari Kampung Ampungan, Serian, meninggal dunia selepas mangsa ketiga Alicesa Lorenna Nody, 7, dari Kampung Lebor, Gedong meninggal dunia Khamis lepas.

Manakala dua adik beradik dari Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Serian, Monica Mazlan, 6 dan Jackson Mazlan, 4 meninggal dunia pada 4 Julai lepas.

30 anjing liar ditangkap

Sementara itu, di Majlis Daerah Kerian (MDK) menangkap lebih 30 ekor anjing liar sejak seminggu lalu dalam usaha membendung penularan wabak Rabies atau penyakit anjing gila di daerah itu.

Yang Dipertua MDK, Abdul Khair Ahamad berkata ia dilakukan melalui tiga operasi khas membasmi anjing liar dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Daerah Kerian di Tanjung Piandang dan dua lokasi berasingan di Parit Buntar dalam tempoh berkenaan.

“Tindakan itu diambil dalam usaha pihaknya membasmi anjing liar yang boleh memberi ancaman kepada orang awam.

“Ia juga bagi mengelak anjing peliharaan menjadi mangsa anjing liar,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Parit Buntars semalam.

 

Ditanya mengenai langkah MDK memantau penularan wabak rabies di kawasan persempadanan dengan daerah Larut Matang Selama, Abdul Khair berkata ia dilakukan oleh DVS dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Pihak kami berharap kerjasama penduduk setempat di daerah Kerian untuk segera melaporkan sebarang kehadiran kumpulan anjing liar berkeliaran di kawasan mereka untuk diambil tindakan segera,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.