Usher Bakal Hiburkan Peminat Di Grand Prix F1 Malaysia

KUALA LUMPUR – Usher, penyanyi dan penulis lirik yang memenangi pelbagai anugerah Grammy, bakal membuat persembahan pada konsert pasca perlumbaan edisi ke-18 Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia dari 30 Sept hingga 2 Okt depan ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, peminat sukan permotoran itu akan dihiburkan dengan persembahan bertaraf dunia selepas berakhirnya perlumbaan berkenaan.

 

“Tahun ini, kami berasa bangga dapat menampilkan persembahan hebat daripada Usher, yang menjadi antara artis paling laris dalam sejarah muzik Amerika.

 

“Hanya dengan satu tiket, peminat bukan sahaja dapat menyaksikan pemandu F1 terbaik dunia beraksi di depan mata malah, menikmati persembahan hebat artis antarabangsa yang menepati cita rasa pelbagai muzik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Usher pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 2010.

 

Razlan berkata buat pertama kalinya, SIC akan memperkenalkan Star Stand iaitu zon tempat duduk khas di kawasan B Hillstand bagi membolehkan pemegang tiketnya menyaksikan konsert dan perlumbaan dengan lebih baik.

 

Sebelum ini, konsert diadakan di kawasan pendaratan helikopter tetapi tahun ini, SIC menawarkan pemandangan yang lebih baik untuk menyaksikan aksi di litar dan pentas.

 

“Bagi menyediakan lebih keselesaan kepada pemegang tiket Star Stand, kami turut menyediakan trak makanan selain kemudahan lain,” katanya.

 

Tiket Star Stand dijual pada harga RM183.38 bagi dewasa dan RM93.28 untuk kanak-kanak.

 

Semua pemegang tiket GP F1 Malaysia layak menyaksikan konsert itu selepas perlumbaan pada 2 Okt.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.