Penubuhan Parti Politik Baharu Patut Dirai Kata Azmin Ali

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan penubuhan parti baharu oleh mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

Katanya, sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti asalkan menepati syarat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Pakatan Harapan (PH) tidak ada halangan.

 

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR menjelaskan, pihaknya menunggu dengan penuh minat arah tuju dan matlamat parti baharu itu yang dikatakan bakal menyertai blok pembangkang.

 

“Sebagai pembangkang sudah tentu kita meraikan kelahiran parti baharu sebagaimana pembangkang lain (DAP dan Pas) menyambut baik kelahiran PKR pada akhir tahun 1998.

 

“Jika parti dia (Dr. Mahathir) mahu menyertai blok pembangkang, kita tiada halangan malah kita mengalu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek Rumah Selangorku di Taman Puchong Utama, dekat sini, hari ini.

 

Beliau diminta mengulas pengumuman Mahathir baru-baru ini akan hasratnya bersama beberapa bekas pemimpin UMNO hendak menubuhkan parti baharu untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

 

Parti itu yang belum dinamakan secara rasmi dipercayai turut dianggotai bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

Ditanya sama ada PKR akan menerima kemasukan parti baharu itu dalam PH, beliau menjelaskan, semuanya tertakluk kepada ideologi parti berkenaan.

 

“Saya tidak boleh kata ‘ya’ sekarang kerana kita belum tahu lagi ideologi dan matlamat parti itu. Kita tunggu dan lihat tetapi kita tidak akan terlepas dari melihat perkembangan terbaharunya.

 

“Lagi kuat pembangkang, lagi baik sebab matlamat kita ialah menjatuhkan BN (Barisan Nasional) pada PRU-14,” katanya.

 

Mengenai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas Selangor dan beberapa Ahli Parlimen yang menyatakan persetujuan dengan cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk ‘gencatan serangan’ bersama pembangkang, PKR juga mengalu-alukannya, kata Mohamed Azmin.-MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.