Tiong Lai Sertai Misi Siasatan Di Ukraine

SEPANG – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan berangkat ke Ukraine hari ini bagi memastikan keselamatan dan keperluan pasukan penyiasat di sana terjamin sepenuhnya.

“Saya sendiri akan ke sana hari ini untuk pastikan pasukan siasatan Malaysia mendapat akses penuh ke lokasi kemalangan,” katanya selepas mengadakan perbincangan di Hotel Sama-Sama di sini.

Pasukan siasatan khas Malaysia mengenai tragedi yang menimpa pesawat MH17 telah pun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev jam 4 pagi (waktu Kiev), Sabtu.

Ditanya mengenai hak pemilikan kotak hitam yang kini didakwa ditemui oleh kumpulan pemisah pro-Rusia,  Tiong Lai berkata, pihaknya masih berbincang mengenai perkara tersebut.

“Ia masih tidak dapat dipastikan, saya perlu periksa sekali lagi sama ada Malaysia perlu bahagi dan kongsi maklumat data yang diperoleh dari kotak hitam tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, keutamaan pihaknya kini adalah untuk memastikan pasukan tersebut mendapat kawalan keselamatan yang tinggi di sana.

“Keutamaan bagi pihak Kementerian Pertahanan kini adalah untuk memastikan pasukan penyiasat Malaysia mendapat kawalan keselamatan korporat dan sebarang bukti atau serpihan yang ada dilokasi kemalangan tidak diusik atau dicemari.

“Ia penting bagi kami untuk menjalankan siasatan dengan telus dan secara menyeluruh untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Dan untuk memastikan siasatan berjalan dengan baik, kami perlukan kerjasama dari semua badan organisasi antarabangsa yang terlibat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, beliau telah berhubung dengan beberapa pemimpin antarabangsa untuk membincangkan tentang nahas MH17 yang didakwa terhempas selepas diserang di udara dengan menggunakan sejenis peluru berpandu BUK.

“Saya telah menghubungi pihak kepimpinan dari United Kingdom, Ukraine, dan China berkenaan dengan tragedi ini.

“Sebarang maklumat tidak akan disahkan sehinggalah kami dapat pastikan sama ada pesawat tersebut benar-benar diserang, bagaimana ia terhempas dan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/07/19/geledah-mh17/
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.